Sabtu, 1 Disember 2018

TANYA ZAMRI VINOTH




Sebuah buku yang menghimpunkan soalan-soalan yang sering diajukan kepada umat Islam, dijawab dan dibukukan di dalam Bahasa Melayu. Menyingkap salah faham masyarakat bukan Islam mahupun segelintir umat Islam.

Telah dilancarkan pada 1hb Disember 2018 oleh DYTM Tuanku Raja Muda Perlis jam 8.00 malam sempena dengan The Perlis Tour, Dr Zakir Naik di Dewan 2020 Kangar, Perlis.

Kami terlibat dalam pembikinan ilustrasi buku dakwah ini.

Hubungi One Centre Malaysia (04-9705734) atau  Zamri Vinoth untuk keterangan lanjut.

Khamis, 1 November 2018

MENJEJAKI AIR TERJUN TON NGA CHANG

Apabila pulang bercuti di kampung (sudah menjadi rutin bulanan saya pulang ke kampung setiap kali dapat gaji) Mad Duha, presiden PEKETUM ajak saya temani dia menjejak sebuah lokasi hutan terpelihara berdekatan bandar Hatyai. Orang Perlis seperti kami tidak perlukan perancangan rapi untuk ke Thailand. Sebut aja bila waktunya? Dalam masa tak kurang 30 minit bertemulah kami di Padang Besar. Saya parkir Volvo buruk di pejabat Kastam dan membonceng bersama Duha. Rupa-rupanya beliau ada misi utama selain menjejaki Ton Nga Chang iaitu pandu uji motorsikal Benelli RFS 150 yang baharu dibelinya. 

Perjalanan kami dari sempadan Thailand-Malaysia, pekan Padang Besar ke Ton Nga Chang sepatutnya hanya mengambil masa 1 jam dengan jarak sekitar 62 km. Namun kami sedikit tersasar. Rasanya tidak perlulah saya ceritakan liku-liku perjalanan kami yang langsung tidak mencabar! Ha! Ha! Mad Duha akhirnya mengalah dan guna Google Maps aja. Asalnya dia nak tunjuk terrer! 




Hutan Ton Nga Chang digazet sebagai kawasan perlindungan haiwan liar terutamanya tapir sejak 1978. Keindahan air terjunnya pasti memukau siapa sahaja yang datang berkunjung. Tiket yang dikenakan kepada pelancong asing adalah 200 baht (RM28) namun melalui kelicikkan Mad Duha, kami hanya membayar tiket harga warga tempatan sahaja (RM17) , Mad Duha arahkan saya mengunci mulut sewaktu kami melintas pondok pengawal. Bodohnya mereka kerana tidak sedar   no. plat motorsikal kami. Mungkin hujan lebat mengaburkan pandangan mereka? 





Tinggal lencana!

Bagi mereka ia perlindungan. Bagi kita syirik besar.



Kami tiba di kaki gunung Ton Nga Chang sekitar jam 3.00 petang. Hanya ada beberapa orang tempatan sedang beradu cinta dan berswafoto di kawasan taman. Air terjun menderum dan hutan tropika menghijau itu seolah-olah milik kami. Mungkin petugas-petugas di situ menyangka kami gila kerana berani berlibur di tempat yang tinggi risikonya ketika hujan dan ribut. Ada 7 aras air terjun berlainan puncak yang mempunyai keunikan tersendiri. Pada aras 3 airnya membentuk seolah-olah gading gajah yang diabadikan sebagai nama tempat ini. Aras pertama dikatakan kawasan paling popular kerana dipenuhi ikan kelah dan arus sungainya jinak. Namun dalam keadaan seperti hari ini, semua tempat dikocak arus ganas akibat limpahan air hujan. Bagusnya sebelum mendaki ke aras 2, ada sebuah pos disediakan untuk pelancong mendaftar diri bagi tujuan keselamatan dan serahan barang untuk dijaga. Botol air, makanan ringan dalam plastik, shampoo, sabun tidak sesekali dibenarkan. Bagi saya ia satu polisi yang bagus demi menjaga kelestarian alam. Bagaimanapun saya berjaya menyeludup 2 botol Coca-Cola buat bekalan gula/sumber tenaga. Hujan lebat pun mula turun mencurah-curah. Kami mendaki dan mendaki hingga jam menunjukkan jam 5.30 petang. Keadaan di bawah kelihatan sayup-sayup dan gelap. Rasanya kami sudah tiba di puncak atau mungkin juga di aras 6. Kami tak tahu? Tiada lagi denai untuk kami teruskan pendakian sebenarnya. Baju kami basah kuyup, spender basah, telefon basah, itu semua perkara biasa bagi pengembara motorsikal atau basikal. Lebih-lebih lagi jika nawaitu dah tuju ke air terjun, apa nak dikisahkan lagi dengan hujan lebat?


 Anda tanya tentang pacat? Ya! ADA. Perut pun dia hentam gigit.


Mad Duha ajak saya turun kerana sudah tidak mampu lagi untuk mendaki. Alhamdulillah kerana saya masih mampu mendaki setinggi ini walaupun dalam edah rawatan kecerderaan lutut (disyaki meniscus tear). Bagi saya ia adalah keajaiban dan kurnia dari Allah kerana 3 bulan sebelum ini saya terkedang menanggung sakit tak terperi dan merasakan harapan untuk sembuh seolah-olah tiada lagi. Namun Allah memberi nikmat kepada siapa yang Dia mahu. 

Kami berdua berjaya turun sebelum petugas di pos pendaftaran berangkat balik. Mereka pun sudah risau jika kami hilang di hutan. 




Kalau di Malaysia, kita selalunya jumpa burger salut tepung goreng di pasar malam 

Punyalah sedap!. Mad Duha tapaw bawa balik lagi 

Kami singgah di masjid Denun Islam yang terletak di kampung Thung Tam Sae untuk mandi dan solat. Hujan sudah berhenti ketika ini. Kebetulan di sebelah masjid ada warung burger. Mulanya kami agak ragu-ragu untuk cicipan di situ kerana pemiliknya yang seksi. Namun apabila terlihat kelibat ibunya yang bertudung litup barulah kami yakin untuk makan. Begitulah generasi dari rumpun Melayu di Thailand hari ini. Mereka sudah hilang identitinya malah mereka tidak mampu bertutur dalam Bahasa Melayu lagi. 

Sepertimana warung-warung burger milik muslim yang kita selalu jumpa di selatan Thailand, Cik Nang pun guna produk Ramly Burger. Sudi-sudilah singgah warung Cik Nang di sebelah masjid Denun Islam jika anda ke Ton Nga Chang Waterfall. Boleh tahan sedap masakannya.

Sabtu, 22 September 2018

MENJEJAKI PERLIS FLOATING MARKET

MENJEJAKI PASAR TERAPUNG KAMPUNG TOK KUNING, PERLIS

Foto kredit: Perlis Aktif 

Antara kawasan yang menjadi tarikan utama pelancong ke selatan Thailand adalah floating market atau pasar terapung. Tiga pasar terapung terkenal di sana iaitu Klong Hae Floating Market, Hatyai Floating Market dan Ban Pru Floating Market yang menyasarkan pelancong Malaysia itu bukanlah pasar tradisional orang Thai seperti yang kita lihat di Damnoen Saduak atau Taling Chan, tetapi sampan-sampannya hanyalah replika. Para peniaga yang majoritinya Muslim akan datang dan masuk menjual makanan didalam sampai yang beroperasi sebagai reruai.

Perlis suatu ketika dahulu telah cuba memperkenalkan floating market ini di Denai Larian Pengkalan Assam namun atas beberapa kelemahan tertentu, kawasan rekreasi itu gagal dimanfaatkan sebagai medan peniagaan rakyat.

Pada hari ini, Kelab Memancing & Rekreasi Negeri Perlis telah menganjurkan floating market di Jeti Tok Kuning, Kangar, yang mana DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dan DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis telah berkenan berangkat mencemar duli bagi menyempurnakan majlis perasmiannya. Perlis Floating Market ini akan diadakan 2 minggu sekali pada sebelah petang bermula jam 3.00 petang sehingga 7.00 malam (sebelum Maghrib). 









Pada waktu sama, Kelab Memancing & Rekreasi Negeri Perlis akan turut menyediakan perkhidmatan rekreasi bot menyusuri Sungai Kuala Perlis sehingga ke Persisiran Kuala Perlis (Masjid Terapung) dan akan berpusing balik ke Jeti Tok Kuning dengan bayaran RM15. 

Menurut pemerhatian kami, peniaga-peniaga di Perlis Floating Market mengunakan perahu nelayan yang sebenar (pukat pun masih ada dalam bot) dan menjual dagangan mereka di jeti sebenar. Keadaan ini jauh lebih asli, lebih unik berbanding di Selatan Thailand! Bagaimanapun fasiliti untuk kemudahan orang ramai haruslah dibangunkan jika kawasan ini mula menjadi tumpuan pelancong sebagaimana popularnya nat pokok getah, di Pauh, Arau. 

Anda boleh mencari lokasi ini mengunakan mercu tanda Muzium Almarhum Kayang.

Rabu, 13 Jun 2018

“TAQABBALALLAHU MINNA WA MINKUM”


Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah ditanya tentang ucapan selamat pada hari raya maka beliau menjawab [Majmu Al-Fatawa 24/253] :

“Ucapan pada hari raya, di mana sebahagian orang mengatakan kepada yang lain jika bertemu setelah solat Eid :

Taqabbalallahu minnaa wa minkum

“Artinya : Semoga Allah menerima dari kalangan kami dan kamu”.

Dan (Ahaalallahu ‘alaika), dan sejenisnya, ini telah diriwayatkan dari salafusoleh bahawa mereka mengerjakannya. Dan para imam memberi rukhshah untuk melakukannya seperti Imam Ahmad dan selainnya.

Akan tetapi Imam Ahmad rahimahullah berkata :

“Aku tidak pernah memulai mengucapkan selamat kepada seorang pun, namun bila ada orang yang mendahuluiku mengucapkannya maka aku menjawabnya. Yang demikian itu kerana menjawab ucapan selamat bukanlah sunnah yang diperintahkan dan tidak pula dilarang. Barangsiapa mengerjakannya maka baginya ada contoh dan siapa yang meninggalkannya baginya juga ada contoh, wallahu a’lam.” [Lihat Al Jauharun Naqi 3/320. Berkata Suyuthi dalam ‘Al-Hawi: (1/81) : Isnadnya hasan]


Namun ucapan-ucapan masyarakat nusantara seperti "Selamat Hari Raya" dan seumpamanya ketika menyambut Eid tidaklah menjadi kesalahan kerana ia membawa pengertian dan harapan yang baik kepada saudaranya.

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا

Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”. [al-Nisa’:86]

Abdullah bin Umar radhiyallahu ‘anhuma berkata: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang meminta perlindungan dengan menyebut nama Allah maka lindunglah ia, barangsiapa yang meminta dengan menyebut nama Allah maka berilah ia, barangsiapa yang mengundang kalian maka hadirilah (undangannya), dan barangsiapa yang berbuat kepada kalian kebaikan maka balaslah, jika ia tidak mendapati sesuatu untuk membalasnya, maka doakanlah ia, sampai kalian melihat bahawa kalian sudah membalasnya.’ Hadis riwayat Abu Dawud.

Sabtu, 9 Jun 2018

ZAKAT FITRAH ONLINE


Kini tiada lagi alasan untuk berlengah-lengah atau terlupa. Begitu mudah pembayaran zakat melalui sistem online sekarang ini. Jangan sampai ada mangkok kata ini bid'ah pulak!

MAKNA ZAKAT FITRI
Banyak orang menyebutnya dengan zakat fitrah. Yang lebih tepat adalah zakat fitri atau sedekah fitri, sebagaimana disebutkan di dalam hadits-hadits. Makna zakat fitri atau sedekah fitri adalah sedekah yang wajib ditunaikan dengan sebab fitri (berbuka) dari puasa Ramadhan. 

SIAPA YANG WAJIB MENGELUARKAN ZAKAT FITRI?
Zakat fitri wajib bagi setiap muslim, baik orang merdeka atau budak, laki-laki atau perempuan, anak-anak atau dewasa, kaya atau miskin, bagi yang mampu menunaikannya. Sehingga syarat wajib zakat fitri ada dua: 

(1) Islam.
(2) Mampu.

“Dari Ibnu ‘Abbas, dia berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah mewajibkan zakat fitri untuk menyucikan orang yang berpuasa dari perkara sia-sia dan perkataan keji, dan sebagai makanan bagi orang-orang miskin. Barangsiapa menunaikannya sebelum shalat (Eid), maka itu adalah zakat yang diterima. Dan barangsiapa menunaikannya setelah shalat (Eid), maka itu adalah satu sedekah dari sedekah-sedekah”.- [Riwayat Abu Dawud dan Ibn Majah]

“Sedekah itu akan memadamkan dosa sebagaimana air dapat memadamkan api". - [Riwayat Tirmidzi no. 614]

Selasa, 22 Mei 2018

HIKAYAT NABI YUSUF (FIXI RETRO)


Sejujurnya saya katakan Hikayat Nabi Yusuf adalah karya picisan hasil salinan Muhammad Labai di Perlis pada tahun 1802. Sepertimana hikayat-hikayat lain yang mengisahkan tentang para anbiya, para sahabat dan wali yang sampai ke Tanah Melayu melalui para pedagang Parsi, Yemen atau India, hikayat-hikayat ini di-Melayu-kan sajiannya. Ia adalah fusion roti kebab, kek keju dan daging masak rendang. Kisah Israiliyyat, kisah fantasi diadun kisah dengan Al-Quran dan diselaraskan dengan lidah Melayu. Bunyinya memang mengarut tetapi ada sesuatu yang istimewa padanya. Saya sendiri lebih melihat pada aspek-aspek lain yang ada dalam karya ini selain dari penceritaannya. 

Saya lebih tertumpu pada usaha penterjemah hikayat ini sendiri, Arsyad Mokhtar yang gigih menterjemahkan manuskrip klasik ini dengan amanah. Selain kata pengantar yang memperjelaskan nilai disebalik karya ini, beliau ‘mentahqiq’ seluruh jalur hikayat dengan nota kaki disetiap muka surat agar pembaca menyaring kandungan merepek dan mirip kebenaran seperti yang diwahyukan Tuhan didalam kitabNya. Seterusnya saya mengkagumi arah tuju seni ilustrasi Arif Rafhan Othman yang memberi nafas segar dalam pembacaan. Lukisan yang bermotifkan tamadun purba Mesir, Mediterranean atau Mesopotamia telah memberi nilai tambahan pada buku ini. 

Havard University Library dan British Library masing-masing menyimpan naskah Hikayat Nabi Yusuf yang berbeza penyalin dan usianya. Setelah membuat penilaian, Arsyad Mokhtar memilih untuk merumikan naskah British Library yang lebih tua dan lebih panjang lebar kisahnya walaupun disalin kurang kemas oleh Muhammad Labai. 

Fixi Retro masih teguh dalam usaha menerbit kembali karya-karya tempatan yang hilang dari edaran umum. Mereka bagus dalam memberi baju baru (cetakan berkualiti) pada naskah-naskah begini. Wajar dibeli sebagai koleksi dan rujukan seni.

Isnin, 21 Mei 2018

PENGEMBARAAN KE KEDAH, PERLIS DAN KELANTAN (BDP)


Tulisan genre travelog oleh Zainal Abidin bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendita Za’ba ini diterbitkan pertama kalinya dalam Majalah Guru sebanyak 5 siri pada Disember 1928 hingga Mei 1929. Ia dihimpunkan dan terbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2008 sebagai satu khazanah negara. Rencana pengembaraan ini asalnya mengunakan tulisan Jawi dan diubah ke Rumi dengan mengekalkan keaslian corak bahasa Za’ba bagi mempertahankan bukti pertumbuhan keperibumian bahasa Melayu. Kata pinjaman dari bahasa Inggeris yang digunakan Za’ba juga tidak dipinda. Istimewanya rencana Pengembaraan Ke Kedah, Perlis dan Kelantan ini tidak pernah dinyatakan dalam Memoirnya, buku riwayat hidupnya sebelum ini dan ia satu-satunya travelog yang beliau tulis walaupun pernah berkelana ke Indonesia pada 1930-an dan melawat Eropah pada 1950-an. 

Za’ba melakukan pengembaraan ini sewaktu dia masih bertugas di Sultan Idris Training College, dengan menaiki keretapi dari stesen keretapi Tanjung Malim. Pengembaraan selama 10 hari ini agak ketat jadualnya, bahkan Za’ba hanya sempat melawat beberapa tempat sahaja namun pemerhatian tajamnya dapat memberi sedikit sebanyak lanskap sosial Kedah, Perlis dan Selatan Thai ketika itu. Ketika di Alor Setar, Kedah, kunjungan Za’ba diiringi Shamsuddin-guru sekolah Inggeris dan YM Raja Muhammad-pegawai tanam-tanaman yang membawanya melawat Sekolah Inggeris, makam diraja dan sekolah-sekolah pondok di Langgar yang terkenal bagaikan ‘Oxford dan Cambridge’ untuk orang yang tidak berpelajaran dapat menjadi graduan ilmu akhirat. Pondok-pondok inilah yang Za’ba sangat berhajat untuk melawat. 

Ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Zahir, ketika itu berkhatibkan orang Arab, Za’ba telah berkenalan dengan seorang figura bernama Tuan Haji Wan Sulaiman, seorang guru pondok yang dipanggil Sheikhul Islam Kedah. Sheikhul Islam Tuan Haji Wan Sulaiman itu belayar ke Makkah diusia 15 tahun dan kembali ke Kedah sekitar umur 40 tahun. Walaupun dia guru pondok, Sheikhul Islam Tuan Haji Wan Sulaiman mempunyai pemikiran yang progresif. Dia lantang mengkritik “lebai-lebai pondok” yang malas mencari rezeki dengan mengharapkan jemputan kenduri, upah dan sedekah mengendali ritual agama. Dia juga seorang penulis risalah, pelukis berbakat, Za’ba menceritakan tentang satu lukisan Iblis memegang kaum tua dan kaum muda di pondoknya sebagai gambaran kedua golongan itu terbelit dengan bisikan setan. Sheikhul Islam Tuan Haji Wan Sulaiman memberitahu Za’ba bahawa dalam Jemaah Masjid Zahir, dia adalah antara ulama ‘mutawassitin’ yang berada ditengah-tengah dua golongan itu dan berusaha untuk menyatukan mereka. Sheikhul Islam Tuan Haji Wan Sulaiman merupakan pengikut tulisan Za’ba dalam majalah al-Ikhwan. Dan berdasarkan artikel dan syair-syair yang dihadiahkan kepada Za’ba, Sheikhul Islam Tuan Haji Wan Sulaiman adalah pengikut tarekat Naqsyabandi, ahli dalam ilmu falaq, dan menentang banyak hal khurafat Melayu yang berkaitan gerhana dan fahaman qadariyyah. 


Lawatan di Perlis memperkenalkan kita kepada 2 orang tokoh tajdid lagenda iaitu Syeikh Ahmad -auditor kerajaan Perlis dan Wan Ahmad, Pengawal Syarikat Berkerja Sama-Sama Perlis. Za’ba menceritakan bagaimana 2 orang tokoh ini menghadapi kesukaran dalam membawa pemikiran kritis mereka pada tuan-tuan haji dan lebai atau alim cara tua yang tiada mengetahui akan akar umbi serta hakikat ajaran agama Islam dan sentiasa berpada dengan taklid buta. Mereka menganggap orang-orang muda berpendidikan Inggeris sebagai ‘loyar buruk’. 

Tidak banyak lanskap muka bumi Perlis diceritakan seperti di Kedah. Namun, Za’ba sempat bersosial dengan ramai pegawai kerajaan Perlis seperti Mahmud, pegawai penjara Kangar, Sab-Inpektor Hashim dan dresser Rumah Sakit Kangar. Menurut Za’ba hospital Kangar ketika itu hanya diuruskan oleh dresser, manakala pegawai perubatan Inggeris hanya datang melawat dua atau tiga kali dalam sebulan. Pesakit pula ramai dikalangan Cina kerana orang Melayu tidak suka rawatan moden. Diceritakan juga oleh Syeikh Ahmad, betapa Penasihat Kerajaan Negeri Perlis ketika itu Tuan P.S Williams sangat dihormati dan disenangi oleh seluruh masyarakat Perlis kerana sangat prihatin dengan budaya setempat dan tidak pernah jemu mendengar aduan-aduan dari mereka biar serumit mana sekalipun. P.S Williams turut melarang kakitangan kerajaan Perlis memakai pakaian ala Eropah sebaliknya membenarkan busana Melayu terutamanya songkok. Za'ba dan Syeikh Ahmad juga bercerita tentang hukuman berkerja sebagai perempuan sundal di Perlis dan isu dosa peribadi seperti zina.

Diceritakan juga, Syeikh Ahmad menunjukan kepada Za’ba daftar wang zakat dan sumbangan pegawai-pegawai kerajaan untuk membina sebuah masjid besar bersenibina Mughal di Kangar. Dan masjid itu adalah Masjid Alwi yang kini menjadi tapak sejarah kebangkitan tajdid paling berjaya di Malaysia secara amnya! 

Za’ba hanya menetap satu malam di Perlis, namun pada malam itu dirakamkan mereka berbahas panjang dari tawarikh dan pemikiran al-Ghazali, ilmu tasawwuf, Ibn Jarir Tabri, Ibn Khaldun, Ibn Sina, Ibn al-Arabi, Abu Al-Hasan Asya’ari, kejatuhan empayar Andalus dan Bani Umaiyyah, hingga melarat kepada berbahas tentang ilmu hadis, sejarah pengumpulan, jalannya dan kepalsuannya. Kemudian berjangkit pula kepada membahas tentang Syiah Rafidha, Wahabi, Ibn Taimiyyah, Mirza Ghulam Ahmad, Syed Jamaluddin al-Afghani dan Charles Darwin. Perbahasan mereka berakhir dengan ilmu tauhid dan kalam “Apakah Allah Ta’ala itu ada?”. 

Za’ba mencatatkan mereka memutuskan sekelian perbahasan itu tidaklah dapat diselam akal dan ilmu manusia. Sebab itulah diutuskan Rasul dan diturunkan Al-Quran yang kita terhutang mesti percaya dan membenarkannya. Syeikh Ahmad dan Wan Ahmad, menurut Za’ba menyumbangkan banyak kupasan hebat pada malam itu yang berakhir pada pukul 2 pagi. 

Za’ba kemudian merantau dari Padang Besar ke Hatyai tanpa sebarang pengetahuan bahasa Thai. Dia banyak mencatatkan kejadian di stesen-stesen dan di dalam keretapi sahaja. Paling menarik dinukilkan scenario di perhentian-perhentian seperti di Singgora, Yala yang menurut pemerhatiannya ketika itu, masyarakat Siam hidup dalam kemiskinan, yang perempuan kebanyakannya memakai baju dan kain senteng, ada yang hingga kelihatan payudara, begitu juga lelakinya hingga ada di stesen-stesen tertentu, station master bertugas hanya memakai seluar senteng tanpa baju sekadar melilit kain cukin. Manakala anak-anak mereka bertelanjang atau sekadar memakai cawat yang pada hemat Za’ba mirip kaum Sakai. Bagi masyarakat Melayu atau Samsam (Melayu kacuk Siam) juga tidak dapat beliau bezakan kecuali para wanita Melayu yang lebih sopan dan mengenakan tudung. Identiti pengenalan lelaki pula adalah serban dan kopiah, tetapi imej kaum lelaki Siam dan Melayu di Selatan Thai hampir sama sahaja. 

Mungkin travelog ini lebih sesuai dinamakan Pengembaraan Ke Kedah, Perlis dan Pattani kerana tiada kisah Za’ba sebaik tiba di Kota Bharu. Tidak dikisahkan bagaimana dia kembali ke Tanjung Malim, namun difahamkan beliau balik dengan laluan yang sama. Dan Za’ba dikatakan singgah semula ke Langgar, Kedah untuk bertemu Tuan Haji Wan Sulaiman sekali lagi semasa perjalanan pulang. 

Ralat buku ini adalah koleksi foto-foto yang dimuatkan mungkin diambil dari enjin carian Google, malah lokasi-lokasi yang dimuatkan adalah dari era millennia ini. Ia sesekali tidak revelan dengan isi dan lanskap tulisan Za’ba. 

Saya dapat buku ini dari reruai Kawah Buku di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018, di PWTC dengan harga RM5. 

kawahbuku.com 

Sabtu, 19 Mei 2018

FITNAH: KESAN & IMPLIKASI (ITBM)


Buku ini saya dapat melalui edaran percuma di Perkampungan Sunnah siri 5, Masjid Alwi, Kangar yang telah berlangsung 2 hari selepas Pilihanraya Umum ke 14. Pakatan Harapan (PH) telah menang majoriti kerusi Parlimen sekaligus Tun Dr Mahathir mencipta sejarah negara sebagai Perdana Menteri ke 7 yang dilantik buat kali kedua mengikut sistem demokrasi dan Perlembagaan Malaysia. Di usia Tun M yang mencecah 93 tahun pada tahun ini menjadikan dia perdana menteri tertua dalam sejarah Malaysia dan dunia! Apa yang menarik pula tentang buku ini, kata pengantarnya ditulis oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak. 

Buku Fitnah: Kesan & Implikasi adalah karya Prof Abdulrazzaq Abdil Muhsin Al-Badr, Universiti Islam Madinah, Saudi Arabia. Dalam buku ini tertulis, jawatan Abdulrazzaq Abdil Muhsin Al-Badr adalah mufti Masjid An-Nabawi, Madinah. Namun menurut Fadhilatus Syaikh Prof Dr Mahmud Bin Abdul Rahman Qadah, Timbalan Rektor Universiti Islam Madinah, di Arab Saudi hanya ada seorang mufti, iaitu Mufti Am Negara Samahatus Syaikh Abdul Aziz Alu Al Syaikh. Tiada mufti-mufti wilayah seperti Mufti Mekah, Mufti Madinah, Mufti Qashim, Mufti Jeddah. Sebaliknya yang dimaksudkan kebanyakan orang dengan Mufti Madinah adalah pemberi fatwa di Masjid Nabawi yang terdiri daripada sebilangan alim ulama yang terpilih. Dan maksud dari mufti Makkah pula ialah alim ulama yang bertugas sebagai pemberi fatwa di Masjidil Haram. 

Buku ini diterjemahkan oleh Dr Fathul Bari Mat Jahya, ulama muda dari parti pembangkang yang tidak asing lagi terutamanya di Perlis. 

Prakata dari Dato’ Sri Najib jelas menzahirkan kebimbangan beliau pada capaian teknologi maklumat hari ini yang manjadi pemangkin kepada fitnah. Katanya, “fitnah perlu dibendung dan dihapuskan. Kita tidak mahu negara yang dicintai, yang kita bersama mengembeleng tenaga membangunkannya menjadi luluh lantak angkara fitnah”. 

Buku ini sarat dengan pendalilan dari Al-Quran dan hadis sebagai panduan dalam mengelak dan menghadapi serangan fitnah. Ia bentangkan dengan terperinci termasuk kisah pengajaran dan teladan yang berlaku di zaman sahabat dan tabiin. Sebanyak 12 implikasi dan akibat dari fitnah merangkumi diri seorang muslim hingga kepada sebuah kerajaan telah dikupas dalam buku ini. 

Perlu dimiliki. 

Hubungi: 
Tel: 603-41451800 

Isnin, 14 Mei 2018

PERKAMPUNGAN SUNNAH SIRI 5 (2018)


Perkampungan Sunnah adalah sebuah program dakwah & islah hasil buah fikiran Dr. Maza sebaik sahaja dilantik menjadi Mufti Negeri Perlis semula pada 2015, buat kali kedua. Perkampungan Sunnah kini telah menjadi satu tarikan kuat penuntut ilmu berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah dari rantau ini. Asalnya program ini diwujudkan sebagai saluran untuk mengubah pandangan serong masyarakat luar terhadap fahaman Islam di negeri Perlis. Namun ia telah mendapat sambutan diluar jangkaan dan terus dikembangkan sebagai medan ilmu dan kefahaman luas dalam manhaj salafus soleh. Kerjasama yang hebat antara Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) seluruh Malaysia telah menjadikan acara ini sebagai penjana ekonomi masyarakat setempat apabila hadirin yang datang akan mengambil kesempatan ini untuk makan malam di Kuala Perlis, membeli belah di Padang Besar, melawat tempat rekreasi, membeli produk mangga Harumanis, ikan pekasam di Timah Tasoh dan berkunjung ke nat pokok getah di Pauh. Program ini dirancang dengan rapi sebanyak 2 kali setiap tahun.

Semua orang tahu, Dr Maza seorang yang idealis dan sangat tektikal. Perkampungan Sunnah sangat dicemburi oleh seterunya, malah boleh kita lihat kecaman di media-media sosial seperti “ zaman Rasulullah saw takda pun program perkampungan sunnah. Orang buat bid’ah tak boleh. Kau buat boleh?”.

Ia dijawab secara sarkastik oleh beliau "Zaman Rasulullah saw bukan setakat kampung, bahkan baginda buat negara sunnah".

Ini antara contoh kefahaman masyarakat yang ingin dibahaskan dalam Perkampungan Sunnah. Namun mereka hanya mahu mengecam. Dengar hujahnya, tak mahu!

Dalam penganjuran pertama pada tahun 2015, telah direkodkan 10,000 kehadiran umat Islam yang antaranya datang jauh dari Krabi, Thailand; Aceh dan Jawa Timur Indonesia. Tetapi dalam siri ke 5 hari ini saya rasa, jumlah kehadirannya lebih ramai namun disebabkan seluruh agensi berita masih tertumpu pada kejutan kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU-14 dan perlantikan Dr. M sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7, kali ini tiada media massa yang melaporkan tentang perkembangan program ini. Namun kita tidak bimbang, PromediaTajdid dan Suara Sunnah Channel telah dilantik sebagai agen siar raya dan portal siaran langsung untuk membuat liputan penuh acara ini. Mereka benar-benar menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan cemerlang. Ribuan penonton dapat mengikuti Perkampungan Sunnah dari jauh atas usaha mereka.

Kali ini rasanya lebih ramai saudara-saudara dari Indonesia, Thailand, Brunei, Singapura datang membanjiri Masjid Alwi. GASMA menyediakan sebuah bas rombongan yang bergerak dari Johor ke Perlis.

Pentingkah program seperti Perkampungan Sunnah ini? Bagi saya, YA. Kerana masih ramai yang tidak terdedah dengan metodologi As-Sunnah dalam peribadatan dan bangga dalam mengamalkannya. Ada mereka hanya terbaca mengenainya, ada yang sebelum ini hanya melihat kuliah & kajian sunnah di internet tetapi masyarakat setempatnya mengamalkan berbeza, ada yang sudah yakin namun masih bimbang untuk beramal kerana rasa bersendirian. Maka, apabila hadir ke Perlis.. ia memberi "ainul yakin" (keyakinan setelah melihat sendiri) buat mereka bahawa ada negeri atau masyarakat yang mementingkan manhaj salafus soleh bagi setiap tabiat agama.

Ni kawan saya, Faiz ATOMIC DEATH yang datang awal sehari untuk mengikuti Perkampungan Sunnah. Ahlan wasahlan.


Sarapan pagi orang laut, Khao Mok.

Sempat cuba Nasi Daging Ehem-Ehem bertempat dihadapan Shell Jalan Kaki Bukit, berdekatan Telekom, Masjid Tunku Syed Putra yang diusahakan sahabat kami, Bain.  



Singgah Timah Tasoh sebelum bergerak ke Padang Besar.


Setiap kali Perkampungan Sunnah dihidupkan dengan satu tema pilihan. Tema yang dipilih kali ini adalah “Pembersihan Jiwa Menurut Sunnah”. Ia begitu sesuai oleh kerana pada hari ini permintaan terhadap jualan agama yang semakin laris. Boleh dikatakan permintaan terhadapnya adalah paling laris dan mudah diekploitasi. Apa sahaja produk dengan penjenamaan agama pasti mendapat perhatian. Kenapa? Kerana manusia secara fitrahnya perlukan ‘spiritual healing’, perlukan satu kedamaian rohani setelah letih dan kecewa dalam arus urbanisasi. Tokoh-tokoh politik yang insaf, mahu kembali pada agama. Selebriti dan artis yang insaf, mahu mencari agama. Orang ramai yang insaf, mahu kembali pada agama. Dan mereka pasti tertarik pada jalan mudah, ringan dan mirip hiburan yang mereka selesa. Ini dipasarkan secara meluas oleh aliran tarekat dan kesufian. Manakala aliran sunnah dilihat lebih gemar menghukum, fiqahnya ketat dengan imej penganas. Mereka seterusnya terjerumus dalam tarekat kesufian yang tercemar dengan falsafah Yunani, Greek dan Hindu. Apa yang mereka rasa sebagai pembersihan jiwa itu sebenarnya lebih mirip kepada kerahiban dan kependitaan, sedangkan tazkiyatun nafs menurut acuan sunnah adalah sesuatu yang berbeza.

Sepanjang Perkampungan Sunnah siri 5 dengan tema “Pembersihan Jiwa Menurut Sunnah” ini, boleh saya katakan para asatizah mentadabbur ayat Al-Quran berikut bagi memahami proses penyucian jiwa yang disarankan Allah SWT:

“Sebagaimana Kami telah mengutus kepadamu seorang Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepadamu, dan menyucikan(diri)mu, dan mengajarkan kepadamu Al kitab (Al Qur-an) dan Al Hikmah (As Sunnah), serta mengajarkan kepadamu apa yang belum kamu ketahui.” (Al Baqarah: 151)

"Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan". (Al-Faatihah: 5)

“Wali-wali Allah itu ialah orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa”. (Surah Yunus: 63)

“Dan mereka berkata, "Mengapa Rasul ini memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar? Mengapa tidak) (diturunkan kepadanya malaikat, agar malaikat itu memberikan peringatan bersama dengan dia?) maksudnya sebagai saksi membenarkan kerasulannya.” (Al-Furqan: 7)

“Dan barangsiapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami berikannya kuasa untuk melakukan kesesatan yang telah dipilihnya itu dan pada hari akhirat kelak Kami masukkannya ke dalam Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali”. (An Nisa: 115)

"Bahwa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim" (Al-Anbiya: 87)

“Dan Kami turunkan dari Al Qur`an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, dan Al Qur`an itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian”. (Al Isra` : 82)




Maulana Fakhrurrazi, Musyrif Pusat Pendidikan Darul Quran Wal Hadith Kuala Kangsar membuka tirai Perkampungan Sunnah pada pagi Jumaat itu melalui kuliah Subuh bertajuk "Wali Allah vs Wali Syaitan". 

 


Bawa rakan-rakan cuba nasi ganja Pak Daud di Jejawi. Tarabaz, pemukul dram HEREAFTER, IRON MOTH pun ada. Ah Chuan ada. Diken pun ada.


Bawa Tarabaz dan Faiz tinjau sempadan Bukit Batu Putih Buaya dan Pulau Brasmana. Tu belakang ada 'that Wahabi Tree".


Sempat lari ke Pusat Pertanian Bukit Bintang untuk cuba produk Harumanis. Set pulut dan jus RM10. Ais krim medium size, RM3. Bukit Bintang ni bukan di KL tapi nama tempat ni Sungai Batu Pahat. Bukan di Johor.... di Perlis ya! haha!

Seterusnya kami ke Masjid Alwi semula untuk solat Jumaat. Khutbah disampaikan oleh Mufti Negeri Perlis, Dr. MAZA.


 Terjumpa bekas majikan lama, Halid. Pewaris Nasi Kandar Gany. 


Antara yang menarik tentang Perkampungan Sunnah adalah pemberian kitab percuma dari Jabatan Mufti Negeri Perlis. Ini baru sebahagian, tidak termasuk kitab-kitab yang sukar diperolehi dijual di reruai dengan potongan harga dari 20% hingga ke 50%.


YTM Raja Muda Perlis bersama Dr MAZA melawat reruai dan gerai, antara yang kelihatan toko Santai Ilmu milik Ustaz Syihabudin Ahmad atau USA yang sering muncul dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O. Kitab-kitab terjemahan beliau dan tulisan beliau sendiri adalah pilihan yang bagus dan berkualiti. Ustaz Syihabudin anak Perlis.

Kawan saya Zamri Vinoth turut membuka reruai One Centre Malaysia yang dipenuhi akhwat yang manis-manis belaka. Mereka bertugas sebagai sukarelawan menyediakan peraduan untuk kanak-kanak, mengedar pamplet dakwah dan memperkenalkan program Street Dakwah yang diseliakan Zamri Vinoth sendiri.

Bagi saya reruai Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin yang menawarkan khidmat lukis potret dan satu lagi reruai penjual tshirt figura tokoh-tokoh Islam adalah kurang menepati kempen taat sunnah di sini. Mana boleh orang sunnah terbabit dalam melukis potret-potret manusia dan menjual pula baju-baju gambar bayangan sahabat dan tokoh-tokoh? 

Jadual Perkampungan Sunnah padat dengan pengisian pelbagai kuliah, forum, talk show, dan kupasan kitab-kitab bermula dari waktu subuh sehingga setelah waktu isyak. Ada banyak lagi aktiviti lain seperti Kayuhan MAIP Peduli bersama Raja Muda Perlis, latihan memanah, peraduan mewarna, kuiz, doodle atau sekadar berkenal-kenalan. Saya jumpa Bruce, Aizat yang saya kenal dari sosmed, begitu juga brader yang menunggang kapchai dari Penang ke Perlis untuk mengikuti kuliah Dr Maza pada setiap hari Selasa. Gigih sungguh beliau menuntut ilmu.


Sempat bawa Faiz melihat Sungai Berembang dan tinjau Pulau Langkawi dari kejauhan sebelum berangkat ke Masjid Alwi semula untuk mengikuti Kuliah Magrib Dr Maza dan Forum "Destinasi Yang Benar, Jalan Yang Salah" oleh panelis Syeikh Hussein Yee dan Ustaz Farid Achmad Okbah.

Ustaz Farid Achmad Okbah, adalah peneliti kesesatan ajaran Syiah, Ketua Majlis Syura Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia dan juga ketua Yayasan Al Islam Bekasi. Pada tahun 1990-92 dulu, beliau pernah menjadi imam di Islamic Centre Sidney, Australia. Kata beliau sewaktu memulakan forum, "Perkampungan Sunnah sudah mula terkenal di Indonesia, rata-rata orang merasakan ia sebuah kampung yang terdiri blok-blok rumah, yang dihuni masyarakat yang mengamalkan sunnah,  berjanggut, masing-masing berpoligami, .. haha.. setelah datang ke sini ternyata ia bukan kampung, tetapi nama untuk kuliah-kuliah dan kajian-kajian". Mungkin Ustaz Farid berseloroh.



Sedih juga bila nak balik. Selipar baru beli seminggu ke curi. Nampaknya pembersihan jiwa masih belum cukup puak ni? Tunggu punya tunggu, kot-kot ada orang pinjam ke tandas. Takda juga. Maka baliklah dengan kaki ayam.


OK. Tentang pakai jubah. Dulu saya memang menongkah arus bab ini. Saya sering pakai tshirt rock, tshirt hitam ke kuliah. Konon zuhud dan ada jati dirilah. Tetapi Dr MAZA sering pesan, kalau mampu perelokkan diri, perelokkanlah. Lebih lagi bila datang ke masjid dan bersosial dalam majlis ilmu. Ia sunnah. Dalam syarah hadis Jibrail tentang Islam, Iman dan Ehsan menceritakan malaikat pernah datang mengadap nabi di hadapan sahabat dengan jubah putih bersih dan kacak. Memberi isyarat adab yang perlu diterapkan pada setiap penuntut ilmu. Katanya, Imam Malik r.a tidak akan keluar mengajar tanpa berhias diri. Imam Malik sangat pentingkan penampilan. Saya masih ingat lagi pesanannya dalam kuliah Magrib terakhir sebelum Perkampungan Sunnah Siri 1 bermula, Dr Maza minta semua orang Perlis berketerampilan di Perkampungan Sunnah. Jangan selekeh, pakai cantik-cantik untuk sambut tetamu yang datang dari jauh ke masjid kita. 

Sejak itu saya jarang ke masjid dalam keadaan selekeh lagi.






Betapa kami semua merindui kuliah beliau. Kami rata-rata belajar iktikaf di bulan Ramadan dari Ustaz Abdullah Yasin. Kawan-kawan kami yang bermanhaj salaf, tradisionalis semua sukakannya. Kami tahu sikit sebanyak tentang sunnah darinya. 

Nabi صلى الله عليه و سلم berdoa setiap pagi, dengan doa:

اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْماً نَافِعاً، وَرِزْقاً طَيِّباً، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Allahumma Inniy As-aluka ‘ilman naafi’an, wa rizqon thoyyiban, wa ‘amalan mutaqobbalan.

Kemuncak ilmu yang bermanfaat adalah segala jenis ilmu yang menyempurnakan ibadatmu - Ustaz Abdullah Yasin memetik kata Syeikh Abdul Rahman ibn Nasir al Sa'adi dalam tafsirnya.



Bagi yang bermusafir secara budget rendah. Tidak perlu risau, selain boleh beriktikaf di masjid, pihak JPAM hari itu turun membenarkan para hadirin untuk bermalam di pejabat mereka. Ada Jamuan Sabil yang diuruskan  menyediakan makanan percuma kepada para hadirin secara non-stop sepanjang 3 hari itu. Selain gerai-gerai makanan yang diusahakan orang ramai dan juga para asnaf.

Seterusnya Kuliah Duha disampaikan oleh Dr Kamilin Jamilin, Ahli Majlis Fatwa KL bertajuk "Penilaian Kitab Ihya Ulumuddin". Beliau terkenal dengan hafalan yang baik serta penyampaian yang santun.

Antara perkara yang perlu dititikberatkan pada masa akan datang adalah, jumlah tandas yang ada. Oleh kerana ramai orang beriktikaf di masjid, hampir setiap masa tandas yang berjumlah 5-6 bilik itu dipenuhi orang. Bagi yang datang dengan kenderaan sendiri mereka pergi membersihkan diri di Masjid Putra, tetapi bagi kanak-kanak dari madrasah dan tahfiz, mereka terpaksa bersesak-sesak disitu menunggu giliran. Mungkin pada PS6 pihak penganjur boleh sediakan tandas bergerak seperti yang ada di konsert-konsert. 




Ada free market untuk orang ramai menyumbangkan apa sahaja dan ambil apa sahaja . Ada klinik pergigian bergerak dan pemeriksaan payudara.

Manakala antara hadis yang sering disyarahkan:

Dari Abu Hurairah, ia berkata : Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya aku meninggalkan pada kalian dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang teguh kepada keduanya, yaitu : Kitab Allah dan Sunnahku“. [HR. Ibnu Abdil Barr, dalam Al-Istidzkar juz 26, hal. 98]

“Ingatlah bahwa di dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh jasad. Jika ia rusak, maka rusak pula seluruh jasad. Ketahuilah bahwa ia adalah qalbu (jantung)” (HR. Bukhari no. 52 dan Muslim no. 1599).

Kalam imam mujtahid pilihan saya:
“Ketahuilah bahawa sesungguhnya awal mula talbis (pengkaburan/perangkap) Iblis untuk menjerumuskan manusia ke dalam kesesatan adalah dengan menghalangi (memalingkan) mereka dari ilmu agama yang bersumber dari Al Qur’an dan As Sunnah, kerana ilmu agama itu adalah cahaya yang menerangi hati, maka jika Iblis telah berhasil memadamkan lampu-lampu cahaya mereka, dia akan mampu mengombang-ambingkan dan menyesatkan mereka dalam kegelapan (kesesatan) sesuai dengan keinginannya.” (Imam Ibn Jauzi, Kitab Talbiisu Ibliis, hal. 389)


Ke Padang Besar untuk kali ke 2. Singgah sebentar di Terinai. Seperti biasa jika ke Padang Besar jadi tak sah jika tak makan Pulut Ayam Mak Teh.





Singgah pula ke Taman Ular. Kembali ke Masjid Alwi untuk mengikuti Kuliah Dr Maza dan Forum "Tawazun Antara Dunia & Akhirat". Panelis Dr RoRa dan Dr Fathul Bari Mat Jahya. Hujan lebat malam itu, kami bertempiaran lari masuk masjid dan menonton dari skrin sahaja. Malam itu juga saya bertuah kerana jumpa semula selipar yang dicuri malam tadi!!



Hari terakhir Perkampungan Sunnah bermula dengan Kuliah Subuh "Tanda Hati Yang Kotor" oleh Ustaz Ahmad Hasyimi Che Pa. Kami seterusnya ke market (pasar basah) Kangar. Faiz perlu cuba juga nasi kandar Nuun dan kopi panas Hwa Teik.

Penulis novel, Pitri al-Fateh pun hadir.


Kami kembali semula untuk Kuliah Duha Dr Rora, disebabkan kecederaan lutut 'meniscus tear' kembali menyerang. Saya duduk diluar masjid dan ikuti kuliah melalui skrin sahaja. Sedap pula kupasan Dr Rora mengenai Kitab Ighathah al Lahfan.  Kopi Madina dibawah tu adalah produk anak Perlis. Sedap juga.



Kerana tak tahan duduk kat luar seorang diri. Masuk juga ke dalam masjid dan duduk atas kerusi untuk menonton Forum "Tablis Iblis dalam Kerohanian". Panelis Dr Mohd Azrul Azlen dan Mat Malaya. Saya kadang-kadang setuju juga dengan ketegasan Mat Malaya dan penyampaiannya dalam hal-hal yang membabitkan akidah. Ia bukan ringan dan kita perlu orang lantang dan keras sepertinya untuk menyedarkan masyarakat. 


 Kami tidak mengikuti kuliah magrib dan forum terakhir kerana kecederaan lutut saya yang semakin serius. Kesian pula Faiz yang datang dari jauh, tidak dapat ke sana kerana saya. Apa pun moga beroleh ilmu yang bermanfaat sepanjang berada di Perlis, bro.