Sabtu, 25 November 2017

PENGABDI SETAN (2017)


Filem yang diadtaptasi semula dari sebuah filem seram kultus Indonesia (1980) yang perlu anda tonton walaupun ulasan dari pandangan peribadi saya ini hanyalah biasa-biasa sahaja. Bagi pengemar filem hantu dan seram sejak kanak-kanak, mungkin persembahan Joko Anwar belum cukup angker pada pengalaman saya. Pengabdi Setan yang asal punyai aspek-aspek tulen dan penceritaan unik walaupun ada sedikit pengaruh Beyond The Door (1974), Phantasm (1979) dan ia dikenang sebagai pemula kepada unsur kebatinan Islami dan rukyah dalam filem Indonesia yang sebelumnya lebih kepada kepercayaan Kristian.

Pengabdi Setan 2017 benar-benar didokong oleh si mati Mawarni Suwono seorang bekas penyanyi yang terlibat dengan 'satanic cult' ala Crowley selepas berhasrat untuk mendapatkan zuriat. Sedangkan dalam versi asal dibawa oleh pembantu rumah mereka. Walaupun tidak diceritakan dengan jelas, naluri anaknya Toni percaya ibunya Mawarni terlibat dengan upacara selingkuh setan atau 'satanic orgy' dengan pemuja-pemuja setan yang sering hadir disetiap persembahan nyanyian ibunya. Maklumat-maklumat tentang kegiatan diperolehi oleh rakan neneknya, Budiman yang juga penulis kisah-kisah seram dalam sebuah majalah (lebih kurang macam Variasari). Walaupun Toni, Rini (anak sulung Mawarni) pada mulanya kurang percaya dengan cerita Budiman dalam majalah itu, mereka mula ambil serius apabila peristiwa-peristiwa lebih menyeramkan berlaku apabila Mawarni mati. Seterusnya nenek mereka pula mati dalam telaga. Dan kekasih Rini, Hendra turut terbunuh dalam perjalanan kembali untuk membawa perkhabaran dari Budiman tentang status Ian (adik Mawarni). Pengunaan kamera aksi, sudah dijangka untuk babak kemalangan ini.



Filem ini mempunyai sinematografi yang baik. Atmosfera suram dan muram dan ngeri juga berjaya dibangunkan serta dikembangkan. Rasanya dari segi pakaian, kenderaan dan muzik, suasana yang digambarkan adalah sekitar awal 80-an. Runut bunyi juga sesuai dan kemas. Beberapa aspek sosial sedikit sebanyak cuba ditonjolkan, mungkin untuk berlaku adil misalnya; walaupun keluarga Mawarni jahil agama mereka menghormati imam, terbuka untuk bercakap hal agama dan turut mengikut upacaya keagamaan setempat seperti tahlilan arwah. Saya kesan Joko Anwar cuba membawa perbahasan paranormal dalam filem ini dalam watak Imam dengan dialog " yang kembali bukan ibumu tetapi sesuatu yang lain", manakala Hendra berkata "walaupun anak ustaz, aku berbeza pandangan, sebelum wujud agama dan jin, ada sesuatu yang lain", manakala suami Mawarni (lakonan Bront Palarae), Budiman pula percaya pada roh-roh yang kembali termasuk nenek Rini yang kononnya datang kembali dari mati untuk membantu keluarganya dari digangu setan. Babak akhir terlihat di cermin 'hantu' nenek sedang bertarung menutup pintu yang sedang dirempuh mayat-mayat hidup (zombie).

Ok, sepanjang menonton filem ini saya terfikir mungkin juga Joko Anwar sangat mengkagumi dan menekuni karya-karya terkini James Wan dalam menghidupkan watak biarawati, Annabelle, pasangan The Warrens yang diolah semula dalam acuan nusantara. Ia tidak terhenti disitu, cuba lihat pemilihan rumah agam, gaya-hidup Americanized (sarapan pagi barat, tidur pakai seragam, sudah uzur pun pakai gaun putih,) sedangkan mereka bukan orang kaya, tinggal dihujung kampung bersebelahan tanah perkuburan dan pakai air telaga. Lebih kurang The Conjuring versi Asia.

Jika anda biasa dengan filem-filem satanic cult seperti The Lords of Salem (arahan Rob Zombie), (ambil perhatian kenapa pemuja setan yang datang berhimpun depan rumah mereka untuk menjemput Ian (anak keempat Mawarni) dengan pakai kot hitam dan payung hitam? - tipikal imej kumpulan penyembah setan di Barat, diadun dengan zombie bangun menyerang rumah dan seperti Pak Imam terbunuh kerana secara kebetulan dia sunyi dan bermalam di rumah mereka. Ini semua plot-plot ketandusan idea.

Jangan jadikan ulasan ini spoiler untuk anda menontonnya, anda masih boleh menghargai nilai seni dan hiburan didalamnya. Ketika jalan keluar dari pawagam, kedengaran beberapa orang gadis-gadis dah bimbang untuk ke tandas kolej seorang diri malam ini....

5.5/10 

Sabtu, 4 November 2017

MENGEMBARA KE TASIK BIRU, SARAWAK


Banyak kenangan selama mereput di Lobong Custom Workshop selama 3 hari. Kawan-kawan di Kuching memang terbaik, bahkan mereka bagaikan saudara melayan saya dengan begitu baik. 

Saya diberikan sebuah custom chopper (enjin Honda Shadow kalau tak salah) untuk ditunggang ke Tasik Biru bersama-sama KHEROW, kami semua menaiki custom chopper kecuali Pyan (drummer SENSELESS) yang berkhidmat untuk KHEROW pada hari itu. Saya rasa bertuah kerana diberi peluang untuk bertemu dengan beliau yang boleh dikatakan dari angkatan veteran death metalheads di Bumi Kenyalang. Suatu ketika dahulu saya sempat juga bertemu dan melepak bersama Andy (guitarist SENSELESS) di sebuah kedai muzik, itu pun dibawa oleh Zizie Row. Dialah yang begitu beria-ia mahu saya bertandang ke sana atas kapasiti pengurus Faithcraft Productions. Kami sampai di The Liar: Welsh Tavern, Biru lewat petang, keadaan si situ begitu meriah, Pemilik bar itu katanya kacukan Cina Mat salleh, dia pun peminat muzik berat. Varaheim dari kugiran IMMOLATE menghadiahkan saya kalung pentagram, manakala kenalan-kenalan yang lain minta saya cuba laksa Sarawak yang terkenal di situ. Ia dimasak oleh seorang metalheads. 



Hidangan wajib setiap kali mendarat di Kuching. 

Turun flight terus cuba chopper Zizie Row. Mantap!






Matthew menceritakan kepada saya nama tempat ini bersempena sebuah lombong terbiar
yang jernih airnya. 

Persembahan KHEROW berjalan lancar, itulah pertama kali saya melihat barisan anggota-anggota terbaharu mereka. Muzik dan penampilan mereka berubah hampir sepenuhnya, Zizie Row kini lebih menumpukan pada struktur lagu, kurang solo, manakala haluan penyanyi mereka lebih kepada Nu Metal dan tribal seperti SEPULTURA dan SOULFLY. Kami kembali ke Kuching dalam hujan lebat, saya dan Zizie Row menunggang motor tanpa baju hingga ke Kuching. Terasa seperti di Thailand!




Kata Lobong dan Zizie kalau datang Kuching tapi tak cuba naik perahu susur Sungai Sarawak umpama tak pernah datang Kuchinglah. Jadi saya pun petang ini sementara tunggu Zizie Row habis kerja, cubalah naik perahu tambang tu. Memang best! Yang tak bestnya, api tak selisih buaya! Jambatan Darul Hana sudah pun siap dibini. Ia menelan kos RM35 juta itu, berbentuk bengkok ‘S’ dengan lantai sepanjang 335 meter, disokong oleh dua kabel setinggi 45 meter dari menara keluli dengan kecondongan 48 darjah merentangi Sungai Sarawak. Malangnya, ia akan dirasmikan dan dibuka kepada pengunjung pada minggu hadapan! Maka tak dapatlah saya cuba.


Banyak yang kami kongsikan ketika bersama, antaranya kata Bob (vokalis baharu KHEROW) masyarakat Sarawak adalah komuniti paling toleransi di Malaysia, kita tak pernah gaduh-gaduh walaupun berbeza suku dan agama. Saya mengatakan kurang setuju dengan pendapat itu, kerana apa yang saya faham sebagai toleransi ialah sesiapa pun bebas mengamalkan apa yang dia percaya dengan selesa, bukannya penganut semua dan suku harus menjalani cara hidup yang serupa barulah dia dianggap sebahagian dari komuniti itu. Contoh mudahnya, kenapa muslim yang bertatoo dan minum alkohol dianggap biasa di sana? Dan jika tidak sedemikian, dia pula dianggap aneh. Lobong sendiri mengatakan kepada saya ketika melihat saya pulang dari surau berdekatan bengkelnya, "Aku punya ramai kawan-kawan dari semenanjung ketika baru datang ke Sarawak, mereka sembahyang, mereka tak minum... aku bagi masa kau 6 bulan! hahaha! tahulah!". 

Tak tahulah saya, tetapi bagi saya itu bukan toleransi tetapi proses normalisasi. Membiasakan seseorang dengan budaya atau uruf setempat, sesiapa pun kau jika kau mahu harmoni, ikut cara ini.



Hari terakhir Lobong siap buat BBQ di belakang bengkel. Saya senang sekali dengan mereka, Zizie Row berkali-kali pujuk agar saya berpindah ke Kuching. Dia pun tahu, Faithcraft Studio saya di Perlis sudah tidak beroperasi lagi, kini berkelana pula di KL, hidup tak menentu. Namun semuanya masih dalam perancangan.

PIYAN SENSELES


5 tahun lalu saya sempat lepak dengan Andy (guitarist Senseless) berborak mengenai penamat hayat kumpulan death metal lagenda Malaysia ini yang mengiringi pemergian perintisnya arwah Zul atau The Abyss.  Ketika awal penubuhan pada tahun 1989 mereka dikenali sebagai Senseless Death. "Epidemic Mentality Equilibrium" merupakan album pertama mereka yang diterbitkan pada 1994 oleh Valentine Sound Productions (VSP) dalam format kaset. Ia dirakamkan di King Studio. Saya bersekolah di tingkatan 3 ketika itu. Kami begitu teruja dengan scene death metal tempatan. Oleh kerana masih bersekolah dan tak berwang. Kaset ini kami kongsi ramai-ramai, kerana kawan yang lain perlu beli album yang lain pula untuk catch-up ug music scene yang begitu aktif.

Saya abaikan album keluaran mereka selepas itu kerana tidak serasi dengan citarasa.

Valentine Sound Productions bagaimana pun telah tutup kedai akibat kegawatan jualan. Setelah 20 tahun pihak Thrashing Fist Productions telah mengambil inisiatif untuk mencetak semula album ini dengan pembungkusan baru dalam format CD. Selain memuatkan album pertama itu, CD ini turut memuatkan Terminal of Death (Demo 1990) serta Profanation Horror (Demo 1991). Semalam saya sempat berkongsi cerita, pengalaman bersama Piyan, pemain dram lagenda Senseless yang kini berkhidmat untuk Kherow setelah 18 tahun tidak mendendangkan lagi lagu-lagu metal. Bagaimanapun permainan beliau tetap dinamik kerana tugasnya sebagai pemuzik di Jabatan Penerangan Sarawak.