Sabtu, 28 Oktober 2017

A GIRL WALKS HOME ALONE AT NIGHT (2014)


Filem ini unik, susah nak dilabelkan produksi ini. Ia filem Iran dari Amerika.. haha! Apa ni? Entah la. Beginilah, filem genre pontianak ini berlangsung di Iran dengan mengunakan bahasa Parsi dan hanya dibintangi 5 orang aktor utama. Arash dilakonkan oleh Arash Marandi seorang tukang kebun yang rajin dan hidup bersama bapanya Hussein, merupakan seorang penagih heroin tegar. Akibat bapanya banyak berhutang dengan pusher bernama Sayed. Kereta antik milik Arash telah dirampas Sayed.

Suatu hari Arash telah mencuri subang milik majikannya dan berhenti kerja. Dan masa yang sama, setiap malam di pekan mereka berkeliaran seorang gadis pontianak mencari mangsanya. Namun gadis ini sering memilih mangsa dari kalangan kutu rayau dan penjenayah. Dan antara mangsanya adalah Sayed yang dijumpanya ketika melanggan pelacur. Terbunuhnya Sayed, membuatkan Arash mendapat tuah kerana berada ditempat kejadian. Selain dapat kembali kereta antiknya, Arash turut mengambil duit dan dadah tinggalan Sayed.

Suatu malam Arash keluar berfoya-foya ke parti helloween di kelab malam. Dia dipaksa untuk mengambil pil khayal oleh bekas majikannya. Dalam perjalanan pulang, Arash bertembung dengan si Pontianak yang sedang bersiar-siar dengan skateboard nya. Ya! Skateboard. Bibit-bibit cinta mula berputik, si Pontianak membawa Arash kembali ke rumahnya, mereka pun bercengkerama dalam buaian lagu-lagu dari koleksi LP Pontianak itu. Ya, dia sukakan fesyen dan muzik.

Kisah ini pendek sahaja, disudahi dengan Arash akhirnya bertengkar dengan ayahnya. Setelah diberi wang dan dadah, Hussein keluar dan melanggan pelacur. Ketika itulah datang si Pontianak membunuh Hussein. Setelah mendapat tahu ayahnya mati, Arash mengajak si Pontianak lari ke tempat lain untuk membina hidup baru. Akan tetapi kucing kesayangan dia dan ayahnya tiba-tiba muncul dalam rumah si Pontianak, tahulah Arash bahawa pembunuhan ayahnya ada kaitan dengan gadis itu. Bagaimanapun dia tetap meneruskan hajatnya untuk bersama Pontianak itu. Kisah ini tamat begitu sahaja.

Penulis dan pengarah filem ini, Ana Lily Amirpour

Dari segi filem baget rendah, cinematografi-nya sangat bagus dan mereka bijak memilih untuk menyunting filem ini dalam hitam putih. Ia menghasilkan atmosfera goth dan menyelamatkan banyak visual yang mungkin kantoi jika berwarna terutama babak berdarah. Perubahan plot-plot sangat lembab dan mungkin anda akan bosan menanti satu-satu babak berakhir. 

Landskap yang dipamerkan dalam filem memberi saya tanggapan berbeza tentang Tehran. Kawasan perumahan mereka bersih, dengan fesyen, runut bunyi, sosio-budaya mereka kelihatan sangat terbuka, mirip Tel Aviv pun ada?! Jangan terkejut antara penerbit filem ini adalah Elijah Wood.

Syiah dan Yahudi memang ada hubungan mesra ya….

Bagaimanapun jika diperincikan jalan ceritanya, ditambah aksinya, diberi kesan khas dan baget yang besar. Saya rasa ia boleh berdiri sebaris filem From Dusk Till Dawn arahan Robert Rodriguez.

4/10

Isnin, 23 Oktober 2017

CONVERSE ALL STAR: BLACKFIRE EDITION





Kebetulan terjumpa Converse All Star lelong di Jaya Mall. Kenangan pakai all star ni mula pada tingkatan tiga (1994), zaman tu kalau hendak beli kasut ni kena naik bas ke Alor Setar. Beli pun guna duit biasiswa. RM55 zaman tu. Ramai rakan-rakan yang terpengaruh dengan scene skateboard dan thrash. Jadi kita pun terikut. Waktu tu di tumit kasut ini tulis "designed in USA", dikilangkan dimana entah la?? Katanya kalau tulis "Made in USA" ditumit baru tulen? Tapi yang terbaru ini, ditulis "Converse All Star". Disebabkan corak yang menyeramkan untuk dipakai ini, maka aku cuba-cubalah sneaker art. Idea datang sepontan aja. Lihat hasilnya dibawah. 

Tidak dijual. Sekadar mencuba.




Selasa, 10 Oktober 2017

BANGKIT! ZINE (ISU # 5)


Pyan kembali dengan isu # 5 setelah tersasar selama 2 bulan kerana terlibat dalam satu kes mahkamah yang melibatkan syarikat lamanya di Kota Bharu. Beliau hanya saksi dalam kes itu. Namun itu semua tidak menghalangnya dari membawa sebuah lagi isu berkualiti dari Bangkit! Bagi yang sudah menjadi penyokong setia zine ini tidak perlulah untuk saya ceritakan lagi bagaimana perincian, ketekunan dan kegigihan Pyan dalam menyajikan bahan bacaan yang matang kepada anda. Pyan dan saya telah menyunting zine lebih dari 20 tahun! Namun saya akui bab format dan displin, Pyan tidak mampu saya tandingi!

Isu kali ini membawa wawancara bersama BAD IDEA, HEGEMONI, DERITAxTERUS, BROKENTAPES INCIDENT, TOTAL SICK, EMERGED, STORY ENDS, PELIGROSOS, EXPURGATED dan DELUSI. Turut dimuatkan ulasan audio, zines, komik dan artikel-artikel menarik. Selain zine, Pyan turut aktif menerbitkan demo-demo kumpulan tempatan menerusi labelnya Blazt Promotion. Dan yang terkini adalah TIKAMxLARI “demo 2016” iaitu sebuah band thrashcore dari Lahad Datu.


Hubungi: sufianmohamedsalleh@gmail.com

Isnin, 9 Oktober 2017

96:01 EMANSIPASI ZINE (EDISI # 1)


Zine ini disunting oleh seorang gadis molek. Lebih molek lagi dia memakai baju Black Flag ketika menjual isu sulung zine-nya ini di Selangor Zine Fest tempoh hari. Saya sentiasa beranggapan semua editor zine perempuan itu cool! Lebih-lebih lagi apabila mereka memilih genre sosio-politik sebagai tema penulisan utama didalamnya (zine puisi tulisan wanita terlalu tipikal). 

Kata Fatimah dia sekadar cuba-cuba. Sebarang kritikan dan pandangan dia terima seadanya. Bagi aku zine 16 muka surat tidak termasuk kulit ini barangkali adalah perzine. Personal zine. Kandungannya merangkumi kritikan sosial, luahan hati dan pandangan peribadi, kempen keamanan dan tidak terkecuali puisi dan ilustrasi. Keseluruhan konsep Emansipasi yang santai, tradisional dan bebas ini boleh difahami, zine punk memang begitu. Namun saya merasakan tidak salah untuk diberikan sedikit format agar tersusun rapi. Bahagian kata pendahuluan & pengenalan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memperkenalkan zine ini dan objektifnya.

Saya berharap Fatimah Noor akan meneruskan penulisan-penulisan ilmiah menerusi zine ini. Beliau menyatakan sebanyak 15 keping isu ini terjual di Selangor Zine Fest. Dan masih boleh didapati dengan menghubungi beliau menerusi: emansipasi.96.01@gmail.com