Isnin, 29 Jun 2015

MENJEJAKI KOH LIPE, SATUN

Sejak tahun lalu, saya mengidam untuk menjejaki Pulau Lepeh atau Koh Lipe atau nama sebenarnya Ko Lipe yang merupakan antara pulau tercantik di Thailand. Sejak kali pertama saya sampai ke pekan Pak Bara dalam jelajah bermotorsikal Ocean to Ocean Ride 2014, saya terkenangkan pulau itu. Bosan menunggu rakan-rakan yang mempunyai seribu alasan, saya memohon cuti 3 hari dan terus berangkat dengan motorsikal.

Ko Lipe
Mana tu? Sempoi ke? Itu yang banyak orang bertanya dan menjadi antara alasan mengapa rakan-rakan agak keberatan untuk ke sini kerana ia kurang popular seperti Phuket, Phi-Phi dan Samui. Tetapi bagi pentaksub scuba dan snorkeling khususnya dari Eropah, Ko Lipe adalah destinasi pertama yang mereka jejaki sebelum ke pulau-pulau lain yang disebutkan tadi. Jarak antara Koh Lipe ke daratan adalah 60km yang mana jaraknya dari Pulau Langkawi adalah lebih dekat (sekitar 30 km sahaja!) maka pada musim melawat (November hingga May) terdapat 2 perjalanan terus speedboat atau feri setiap hari dari Langkawi. Immigresin Thailand akan membuka kaunter mereka di Langkawi pada musim tersebut. Dan diluar musim lawatan, anda hanya boleh ke Koh Lipe melalui jeti Pak Bara.

Koh Lipe adalah sebahagian dari gugusan kepulauan Adang dan lokasinya yang berdekatan Taman Negara Thailand, Koh Tarutao yang digazet sejak tahun 1974 menjadikan ia satu lokasi rekreasi laut yang menarik. Aktiviti scuba, snorkeling dan sebagainya di Koh Lipe hanya dibuka pada musim melawat dan sepanjang tahun kecuali dari November hingga May, ia akan ditutup untuk proses pemulihan karang batu dan haiwan yang mendiaminya.

Moken
Sepekara yang menarik mengenai Ko Lipe ia dihuni oleh puak Moken. Moken atau Chao Ley mula terkenal apabila tsunami melanda Asia Tenggara, dimana mereka antara yang mula-mula mengesan dan melaporkan bencana akan datang dari lautan. Moken adalah gypsies lautan, puak semi-normad Austronesian yang menghuni laut Andaman. Populasi mereka hampir 6000 orang, turut dikenali sebagai Chao Ley, Urak Lawoi atau Orang Laut. Chao Ley adalah Melayu aboriginal yang mirip kepada Bajau Laut dan Salone dari Burma. Secara tradisinya puak Chao Ley beragama Islam lahir, membesar dan hidup di dalam bot. Kebanyakan mereka mampu menyelam sedalam 20 meter selama 30 minit tanpa sebarang peralatan. Dan hanya ke daratan untuk berlindung pada musim tengkujuh dan membeli keperluan hidup. Masyarakat Thai seringkali membenci mereka kerana menganggap Chao Ley sebagai ‘pengotor’ walaupun mereka adalah orang-orang yang baik. Justeru itu, kebanyakan mereka telah berhijrah mencari pekerjaan di dataran dan juga meniru gaya penduduk dari tanah besar agar tidak dianggap kolot.

Moken dari Burma atau Moken Salone yang menganut kepercayaan animist turut meninggalkan tradisi mengembara di lautan dan dipengaruhi oleh berbagai-bagai anasir. Mereka juga tidak lagi bebas menjalankan aktiviti mencari hasil laut disebabkan pencemaran dari hotel dan resort serta kawalan ketenteraan. Laporan dari majalah Guardian;

Sitdit. "Sometimes the big boats get caught by the Burmese military and Moken are arrested. I had four relatives arrested by the Burmese military and they all died in jail."

"We had to become Christian to qualify for a boat, so I became a Christian – I even became a church leader!" ujar Sitdit lagi, yang mana rumah kayu dua bilik mengadap gereja dan dibina secara gotong-royong. "All we had to do was follow the gospel and sing songs. But then the church [group] cheated us, and now nobody goes to church anymore."

Perjalanan
Saya bergerak awal sebaik sahaja selesai solat Subuh dengan menaiki motorsikal ke Wang Kelian. Lokasi yang sebelum ini hanya dikenali sebagai lubuk membeli-belah dicelah kaki bukit tanpa perlu dokumen perjalanan itu kini terkenal setelah penemuan sebuah kem tahanan. Dilaporkan lebih dari seratus kubur pelarian Rohingya telah ditemui, malah tengkorak manusia bersepah diatas tanah kem kurungan mangsa pemerdagangan manusia dari Burma itu.

PDRM masih lagi membanjiri kawasan berkenaan namun pada jam 6.20 pagi ini hanya deretan trak dari Thailand menunggu pintu sempadan untuk dibuka. Rupanya ada juga penduduk Thai yang tinggal di kampung sekitar Gua Kelam dan Wang Kelian dan masuk menghantar anak-anak ke sekolah agama pada awal pagi begini. Saya tersalah percaturan, rupanya pintu sempadan Wang Kelian – Satun dibuka jam 8.00 pagi Malaysia bersamaan 7.00 pagi Thailand. Maka terbongkanglah saya tidur seketika di pondok bas dengan embun dan kabus yang masih tebal.

Sebaik sahaja pintu di buka, saya bergerak, malah saya melompat ke lorong pejalan kaki disebabkan deretan kenderaan yang mahu mengesahkan dokumen perjalanan. Mujur saya bertindak lebih awal dengan menyiapkan insurans kenderaan, isytihar kenderaan dan cop passport pada petang kelmarin di Padang Besar, jadi saya terus bergerak tanpa perlu bayar dan hanya tabik hormat kepada pegawai bertugas. 





Perjalanan dari Wang Kelian ke Pak Bara dengan jarak 76 km itu sememangnya mengasyikkan. Saya menunggang dengan kelajuan 100-120 kmph menyusuri lereng bukit, dusun, sawah, kawasan perkampungan yang dingin dan berkabus. Tiada sebarang masalah dan ia amat menenangkan perasaan. Banyak yang saya fikirkan semasa menunggang terutamanya kenangan dan kejutan yang ada di Koh Lipe nanti. Saya teruja dan dalam masa yang sama membawa hati yang suram.

Jam 8.45 pagi saya telah berada di simpang tiga ke daerah Langu dan berhenti di sebuah kedai serbaneka 7 Eleven untuk burger ayam halal dan secawan kopi dan terus bergerak terus ke Pak Bara. Baru sahaja meletakkan motorsikal untuk ke kaunter infomasi di jeti, 2 orang agensi pelancongan telah berlari mendekati saya memujuk untuk mendapatkan tiket dari mereka. Rupanya semua tiket ke pulau-pulau berdekatan dijual oleh agen, pihak jeti hanya memungut cukai 20 baht pada setiap penumpang yang perlu kita bayar sebaik memasuki kawasan jeti. 






Saya membeli tiket dari Adang Tour RM120 @ 1200 baht untuk tambang pergi dan balik. Jangan risau, semua agen menjual dengan harga yang sama. Bila ditanya tentang hotel, saya menipu telah menempahnya dengan menyebut nama hotel yang saya lihat secara spontan dari peta Koh Lipe yang diberikan percuma. Saya tidak mahu lagi terpedaya dengan agensi yang memberikan hotel yang mengarut dengan harga yang tinggi. Lebih baik saya lihat sendiri hotel itu dan daftar masuk terus jika menarik.

Terdapat 3 perjalanan ke Koh Lipe setiap hari pada jam 9.00 pagi, 12.00 tengahari dan 4.00 petang yang mengambil masa selama 1 jam 30 minit, begitu juga dari Koh Lipe kembali ke Pak Bara. Entah apa masalahnya speedboat saya hanya bergerak pada jam 10.20 pagi. Kami berhenti rehat di sebuah pulau yang dipanggil “Lover’s Gate” selama 15 minit sebelum terus ke hentian berdekatan Koh Lipe yang di ubahsuai dari kapal korek. Dan dari hentian kapal korek itu bot panjang penduduk Chao Ley akan menjemput kami ke pulau dengan bayaran RM5 satu penumpang. Speedbot tidak dibenarkan menghantar kami terus ke pantai kerana dikhuatiri akan merosakkan karang batu. Walaupun sedikit merumitkan, ia satu usaha yang baik untuk menjaga khazanah alam dan dalam masa yang sama memberi pendapatan kepada kelab boat panjang Koh Lipe yang diusahakan oleh penduduk-penduduk miskin di sini. 
















Sebenarnya berpuluh-puluh kilometer sebelum sampai ke Koh Lipe pun kita dah boleh lihat terumbu karang, ketam dan ikan di dasar laut. Memberikan satu rasa kekaguman yang hebat kerana ia tidak mungkin diketemui biarpun di Pulau Langkawi yang berada tidak jauh dari sini. Saya mendarat di Pantai Sunrise tepat jam 11.30 pagi. Dari tinjauan saya, Koh Lipe mempunyai keluasan mungkin seluas bandar Kangar sahaja. Teksi beca sudah siap menunggu kami dengan bayaran RM15 @ 150 baht ke mana-mana tempat yang anda mahu. Tetapi saya memilih untuk berjalan kaki sahaja untuk mengenali lorong dan jalan-jalan pulau ini. Hanya ada lorong berpasir dan lorong konkrit merentas pulau ini. Dengan peta yang dibekalkan tiada masalah untuk saya bergerak ke mana sahaja. Ketika saya mengunggu bot di jeti Pak Bara, cuaca kadangkala hujan dan redup, tetapi disini cuacanya panas terik. Mujur saya teringat untuk membawa bekal air mineral dari Pak Bara. Beza harga air mineral di Pak Bara 80 sen sebotol manakala di Koh Lipe RM4 sebotol. Begitu juga burger ayam halal yang menjadi makanan utama saya sepanjang 3 hari di sini. Jika di tanah besar RM3.50 sebiji, harga RM5 sebiji di Koh Lipe. 

Sumber air di Koh Lipe datang dari mineral bawah tanah, manakala kebanyakan bahan untuk sayur-sayuran dibawa dari Satun, dan barang-barang keperluan harian serta runcit pula dibawa terus dari Pulau Langkawi. Oleh itu jangan hairan, jika segala macam produk Malaysia ada disini. Termasuklah rokok dan minuman-minuman keras.

Masjid Koh Lipe
Tempat pertama yang saya jejaki adalah Masjid Koh Lipe. Saya agak terkejut kerana ia meleset dari apa yang saya jangkakan mengenai populasi muslim di sini. Masjid Koh Lipe hakikatnya hanyalah sebuah surau yang dihimpit oleh dua buah resort agam lagi mewah. Lebih sedih apabila saya melihat rumah imam seperti pelantar dusun yang dibina berhadapan masjid ini. Saya tinjau tandas, lihat ia turut menempatkan peralatan memasak mungkin juga peralatan menguruskan jenazah. Hanya ada dua pili air untuk berwudhu. Saya berehat diberanda dan berfikir panjang. Mungkin banyak saya boleh belajar disini tetapi tidak banyak saya mampu dibantu. 





Saya ada satu kegemaran bila menziarahi penempatan Melayu terutamanya Selatan Thai yang masih mengangkat darjat Bahasa Melayu. Saya gemar mewakafkan terjemahan al Quran. Kita sedih bila di Malaysia banyak orang bukan Melayu gagal mengunakan bahasa dengan baik, tetapi ia lebih menyedihkan bila melihat orang Melayu sendiri gagal berbahasa Melayu. Generasi Melayu Satun kini jika anda perhatikan, sudah tidak mampu bertutur bahasa Melayu walaupun dalam pelat sendiri. Bukanlah apa yang saya buat itu besar, namun saya lihat masih banyak penulisan dalam blog-blog Melayu Pattani, di masjid-masjid Thai yang mengangkat bahasa Melayu walaupun salah tatabahasanya. Dan saya lihat institusi masjid lah yang menjadi pusat aktivis dalam mengekalkan khazanah bangsa itu. Moga kitab terjemahan dalam bahasa yang baik terutama edisi Pimpinan ar Rahman boleh menjadi rujukan jemaah untuk berbahasa dengan lebih sempurna selain mendapat kefahaman dari ayat itu. Itu sahaja harapan saya.


Imam yang mahu dikenali Abang Zakaria turun dari rumahnya dan menjemput saya untuk melaungkan azan. Saya sahut jemputannya, itulah pertama kali saya menjadi muazin setelah berbelas tahun lamanya sejak berhenti sekolah dahulu. Alhamdulilah saya dapat melakukan. Saya gusar jika tersalah sebutan atau tertinggal baris lafaznya. Alhamdulilah kerana Tuhan memberikan kesempatan untuk saya melaungankan puji dan seruan ke jalan Allah di bumi Koh Lipe sebaik sahaja mendarat disini.

Abang Zakaria menjelaskan beliau datang dari Markaz Tabligh Satun untuk menjalankan amanah sebagai imam dan guru agama di Koh Lipe. Beberapa detik kemudian datang 3 orang jemaah, dari Pattani dan Langkawi! Ketiga-tiga mereka mengusahakan agensi perlancongan. Abang Ilyas asalnya orang Perlis namun menetap di Langkawi lebih dari 20 tahun menjadi agen membawa pelancong dari Langkawi ke Koh Lipe. Abang Ilyas menerangkan yang Koh Lipe ini dihuni oleh Chao Ley beragama Islam, tetapi mereka ini orang-orang yang jauh dari agama. Segala macam perihal bida’ah yang dibawa masuk pasti akan diterima pakai oleh mereka. Maka tidak hairanlah tadi peniaga kedai runcit yang menunjukan saya arah ke masjid adalah seorang muslim yang memakai rantai emas dan bertatoo. Manakala ketika menyusuri kampung-kampung Chao Ley tadi mereka sedang rancak meneguk beer sambil menumbuk sambil cili padi sebagai hidangan makan tengahari dibawah rumah yang dinding serta pintunya digantung objek pelik-pelik dan lukisan/foto nenek moyang persis orang Cina. Kemudian, seorang pemuda menaiki motorsikal tanpa baju dan penuh tattoo serta memakai rantai salib memberi salam kepada saya. Saya senyum.

Abang Ilyas menambah lagi sambil memegang terjemahan yang saya wakafkan. "Bukan ini yang diperlukan disini tetapi kerja-kerja dakwah dan tabligh". Saya tunduk dan mengiakan. Terfikir juga, kenapa tiada sekolah pondok, jemaah tabligh yang turun ke sini seperti tempat-tempat muslim yang lain? Kata Abang Ilyas lagi masjid Koh Lipe ini bukan diimarahkan penduduk tempatan sebaliknya jemaah dari Eropah yang banyak datang bersolat. Mereka juga turut mewakafkan tafsir Quran dalam bahasa Inggeris.

Abang Ilyas, Abdullah @ Lah dan rakannya mempelawa saya untuk iktikaf di masjid. Saya tiada keberatan  memandangkan kembara saya berbudget kecil. Namun saya ingin melihat dahulu sekitar pulau ini dengan berjalan kaki. Saya berjanji jika tiada apa yang menarik untuk dilakukan, saya tidur di masjid sahaja. Setelah selesai mendirikan solat Zohor berjemaah saya pun meninggalkan masjid mendaki lereng bukit melalui denai konkrit yang setiap lorongnya dipenuhi bar dan hotel. Pintu pagar Masjid Koh Lipe juga terpaksa ditutup sepanjang masa disebabkan anjing yang begitu banyak.

Koh Lipe Walking Street
Sampailah saya ke kawasan paling hype di Koh Lipe yang padat dengan kedai cenderahati, hotel-hotel, rumah urut, bar, restoren halal, restoren India, Italia, French, 7 Eleven, mesin ATM, hospital dan farmasi, tempat menyewa basikal, agen-agen perlancongan dan sewa peralatan aktiviti pantai. Kebanyakan hotel disini berharga dari RM100 hingga RM150. Jika peak season (Nov – Mei) harganya berbeza. Begitu juga kedai-kedai yang kebanyakan sepi dan ditutup, pengusaha-pengusaha restoran/kedai akan datang pada Oktober nanti. Kebetulan saya bertemu Lah dan Abang Ilyas dihadapan premis mereka Manah Lipe Travel. Alang-alang bertanya saya pun menempah pakej snorkeling di lima pulau dengan harga RM55 sahaja. Pulau-pulau dalam pakej ini bukanlah lokasi popular, bahkan hanya tangkap muat disebabkan kawasan snorkeling utama masih disita untuk pemuliharaan karang batu. Namun Abang Ilyas menyatakan pulau-pulau yang kami akan pergi pun tidak kurang hebatnya. Dan pada dasarnya, snorkeling disekitar pantai berdekatan pun sudah cukup cantik karang batunya. Cuma pelancong-pelancong gemar menikmati pengalaman menaiki bot panjang dari pulau ke pulau. 











Disebabkan saya masih belum mempunyai tempat rehat, Lah dengan baik hati membawa saya ke sebuah chalet kayu/buluh dengan harga RM40 untuk semalam. Kata Lah, orang lain tidak tahu tempat ini. Kedaan chalet ini mungkin lebih baik dari rumah Chao Ley, walaupun seperti pondok dusun, ia serba lengkap kecuali penghawa dingin dan TV. Jiran-jiran saya pun pelancong-pelancong dari Perancis. Mereka gemar suasana kampung begini, masing-masing sedang lepak membaca buku di beranda. Saya mandi dan rehat sebentar. Nyamuk menyerang dan membaham saya walaupun dalam kelambu. Sepatutnya saya membawa krim anti-nyamuk.




Jam 4.00 petang @ 5.00 petang waktu Malaysia, saya mula bersiar-siar ke kawasan tengah pulau melihat kawasan janakuasa, kawasan pelupusan sampah yang hanya dipenuhi botol arak mengunung tinggi, dan kawasan perkampungan.

Pattaya Beach
Saya seterusnya menyusuri Pattaya Beach yang dipenuhi hotel-hotel mewah mengadap laut. Difahamkan apabila peak season, speedboat dari Pulau Langkawi dibenarkan berlabuh terus di Pattaya Beach. Pantai nya berpasir putih dan berombak kecil amat sesuai untuk mandi dan berkayak. Namun bagi mereka yang kurang senang pada anjing mungkin akan sedikit ralat kerana pelancong Eropah gemar bermain dan mandi bersama anjing di pantai. Boleh dikatakan bilangan anjing dan orang sama banyak di Pattaya Beach petang itu. Saya menaiki jambatan kayu bakau dilereng-lereng batu berdekatan Sanom Beach Resort dan berehat disitu mencari ketenangan hati. Banyak sungguh ketam dikawasan itu. Sebaik memuat turun panorama indah laut senjakala di dalam facebook, rakan saya Badril memberikan komen “see you tomorrow”. Lucu, pelik dan benar, Badril, isterinya dan seorang rakan pejabat mereka akan datang ke Ko Lipe esok hari. Boleh la kami bertemu dan meluangkan masa bersama. 













Sekitar jam 7.00 malam saya kembali ke chalet dengan menyusuri Pattaya Beach dan Koh Lipe Walking Street. Saya singgah di 7 Eleven untuk burger ayam halal dan kopi, sebaik menunaikan solat saya terus tidur. Keadaan sini memang sejuk dimalam hari tanpa perlu penghawa dingin, namun saya sering terjaga dari mimpi akibat terganggu dengan serangan nyamuk yang terlalu banyak. Kedengaran jiran-jiran juga sedang sibuk menampar nyamuk walaupun jam dah menunjukan 2.00 pagi.

Snorkeling
Saya bangun seawal 5.00 pagi untuk mandi dan solat Subuh, jiran-jiran masih dibuai mimpi. Bagus juga sebabnya kalau ke tandas mahu kentut pun susah sebab pondok kami rapat-rapat dan suasana sunyi. Jika anda kentut pun jiran sebelah ketawa besar, apatah lagi jika pasangan sebelah bersenam di malam hari. Namun dari apa yang saya perhatikan kebanyakan pelancong Eropah datang bersorangan sahaja, baik lelaki atau wanita. Dan dari perbualan, kebanyakan mereka bukan sahaja gemar kelainan pada suasana dan budaya baru, tetapi mereka juga mencari pengalaman seks bersama pasangan baru di setiap tempat yang dilawati. Ia bukan sesuatu yang aneh lagi bagi mereka. Ia satu kaedah menikmati kehidupan alaf baru. Teringat cerita Abang Ilyas petang tadi, penah terjadi seorang gadis Latvia di Langkawi yang baru beberapa jam berkenalan dengan seorang jutawan di tepi pantai dan terus menaiki kapal layar lelaki itu ke Koh Lipe tanpa sebarang dokumen dan wang. Setelah melakukan apa yang patut diatas kapal layar, gadis itu dilepaskan dan ditinggalkan di Koh Lipe begitu sahaja. Gadis Latvia yang dalam ketakutan dan kelaparan itu dibawa oleh Chao Ley kepada Lah dan Abang Ilyas memandangkan mereka berulang alik ke Langkawi. Jika dibawa ke polis atau immigresin Thai pasti nahas beliau dikerjakan. Maka dari pengalaman yang ada sebagai agen perlancongan, gadis itu dapat diseludup kembali ke Langkawi tanpa sebarang bayaran. Kata Abang Ilyas dia menolong gadis itu kerana menganggap gadis itu termasuk dalam umat nabi juga. “Hakikatnya depa pun umat, kan nabi utusan umat akhir zaman. Semua itu umat, cuma mereka belum dapat hidayah. Wajib untuk kita tolong”.


Kami bergerak dari Pattaya Beach dengan bot panjang pada jam 9.30 pagi, selain kebanyakan hanya pelancongan tempatan, seorang lelaki Korea, Lee turut bersama. Dia menjadi rakan baik saya bermula dari situ.

Pulau Talang @ Koh Talak
Cuaca hujan dan ombak besar pada pagi tu agak meresahkan, tekong juga kelihatan bertungkus lumus mengemudi bot merentas badai. Namun Lah memberitahu saya ia keadaan biasa di pulau, tiada yang perlu dirisaukan walaupun hujan lebat. Dalam masa 30 minit cuaca boleh bertukar serta merta. 





Tepat sekali ujar Lah, sebaik tiba di Pulau Talak, walaupun mendung, permandangan dasar laut jelas kelihatan biarpun belum menyelam lagi. Kami snorkeling beramai-ramai pada kedalaman 3 meter. Lee yang terlalu teruja berenang hingga tidak mampu kembali ke bot kerana jauh dibawa ombak. Kami menjemputnya dengan bot.

Pulau Talu
Entah mengapa saya mabuk laut, mulanya saya ketawakan seorang wanita yang muntah diatas bot. Akhirnya saya pula yang mahu muntah. Alvin, suami wanita tersebut tak habis-habis ketawakan saya. Kami minta tekong berlabuh dipantai dan saya terus ke bawah pokok untuk tidur. Bersama-sama saya, deretan makcik-pak cik yang terlentang tidur kemungkinan besar turut mabuk laut. Setelah seketika saya kembali pulih, menurut Alvin lagi saya perlu snorkeling dan jangan layan mabuk supaya serasi dengan ombak. Saya pun sambung snorkeling. Ikan-ikan di kawasan pantai Pulau Puyu ini agak aggressif. Kata tekong, ikan-ikan sini dah biasa diberi makan oleh pelancong-pelancong maka dia akan terkam bila nampak kelibat manusia. 




Teluk Adang
Kira-kira jam 12.30 tengahari kami bergerak ke teluk Adang untuk makan tengahari yang dibekalkan Manah Lipe Travel yang berupa nasi putih, sotong masak kari hijau dan tembikai. Kawasan pantai berpokok rhu ini memang dikhaskan sebagai hentian rehat dilengkapi dengan kemudahan tandas dan tempat untuk makan atau solat. Bagi yang tidak tahu Koh Adang lebih luas dari Koh Lipe malah mempunyai beberapa kawasan perkelahan air terjun. 






Koh Lek
Selesai makan tengahari yang begitu pedas, pelancong Korea Lee terus berlari ke toilet. Amat pedas katanya. Nasib baik air mineral diberikan sebanyak mana yang anda mahukan. Kami berangkat ke Koh Lek, ketika itu awan semakin berarak mendung. Pada kedalaman 6 meter, hanya 2 orang pelancong yang terjun untuk snorkeling kerana masing-masing dah letih. Saya hanya berehat dan berbual bersama tekong di kepala bot. Kebetulan tekong boleh bertutur dalam bahasa Melayu walaupun tidak fasih. Menurutnya dia pernah berkerja memotong getah di Changloon, Kedah tetapi apabila harga getah jatuh dia kembali ke Koh Lipe membawa bot. Yang seronoknya, jika di Krabi pemandu bot mereka sekadar membawa kita dan bercerita. Tetapi pemandu bot Koh Lipe, mereka turut serta mandi dan menyelam di setiap lokasi yang kami pergi. Mereka benar-benar seronok dengan kerjaya mereka. 



Koh Kra
Koh Kra adalah pulau comel yang paling hampir ke pantai Sunrise. Ia disita dengan tali pelampung bagi menghalang bot dan aktiviti snorkeling di situ. Namun banyak bot panjang berhenti berdekatan pelampung tersebut dan membiarkan kami berenang masuk ke kawasan larangan tersebut. Cuaca semakin mendung, hujan renyai juga mula turun. Kemungkinan juga ketiadaan bot Navi membuatkan tekong berani membawa kami ke situ. Walaupun letih saya terjun juga beberapa minit untuk melihat terumbu karang berwarna biru opal yang begitu cantik serta ikan-ikan yang jinak-jinak. Sepertimana di Pulau Talu, ikan-ikan disini telah biasa bermesra dengan manusia dan menunggu masa untuk disuapkan makanan. Sekitar 15 minit disini, kami minta tekong menghantar kami ke pantai kerana terlalu letih dan ombak semakin besar. Hujan turun dengan lebat sekali. Kami tiba di pantai Pattaya jam 3.30 petang. Sah-sah solat sunat Jumaat saya terbabas. Malu saya pada Abang Zakaria, imam masjid koh Lipe kerana berjanji akan datang solat Jumaat. Astagfirullah. 




Saya kembali ke chalet untuk mandi. Badril dan isterinya dah berkali-kali mesej melalui Whatsapp untuk berjumpa dan mandi laut bersama. Saya minta mereka tunggu di 7 Eleven. Lokasi paling mudah dicari.

Kayak di pantai Sunrise
Selesai solat jamak dan qasar terus saya keluar ke 7 Eleven yang hanya kira-kira 500 meter dari chalet saya. Badril dan isterinya sudah berada di situ, kebetulan simkad Thailand yang mereka beli di Satun gagal berfungsi namun kakitangan 7 Eleven tidak mempunyai kemahiran untuk mengaktifkannya. Mereka meminta kami ke mana-mana farmasi bagi sebarang masalah berkaitan telefon pintar. Memandangkan masa kian suntuk dah pun 5.00 petang saya gesa mereka terus ke pantai Sunrise, lagi pun netizen couple macam mereka patut dibiarkan tanpa capaian internet. Jika tidak mereka mampu duduk berjam-jam tanpa bicara dengan masing-masing mengadap telefon. Bayangkan anda di gugusan kepulauan exotic dan damai… anda masih kalut dengan perkembangan media sosial? Argh! 














Sampai di pantai Sunrise atau nama sebenarnya Pantai Chao Ley, saya dapati memang banyak tempat menyewa peralatan untuk aktiviti kayak, snorkeling dan scuba. Saya menyewa di Salisa Resort dengan kadar RM15/satu kayak yang boleh dinaiki dua orang bagi satu jam. Lah dari Manah Lipe, agensi yang membawa saya snorkeling pagi tadi menawarkan saya RM30 untuk satu hari suntuk berkayak di Pantai Pattaya. Tetapi saya ingin berkayak di Sunrise yang lebih meriah dan mengadap panorama pulau Adang. Kami berkayak ke Koh Kra yang telah saya renangi airnya pagi tadi. Tetapi kali ini kami berlabuh disini. Dari pemerhatian pulau ini dijadikan tempat berparti dan mungkin juga didatangi pada malam hari. Pantainya bersih, manakala terumbu karang dan kulit-kulit siput gergasi dihiasi oleh pengunjungnya pada dahan-dahan pokok seolah-olah sebuah upacara sering berlangsung disini. Kami mandi hingga puas. Kelihatan tentera laut Thai melakukan rondaan dikawasan sekitar. Begitu juga bot-bot panjang masih rancak mundar-mandir membawa pelancong. Beberapa pelancong kelihatan sedang berkayak ke arah kami. Ya lah! Koh Kra merupakan satu-satunya pulau comey yang paling hampir dengan pantai Sunrise.

Kami berlumba kayak pulang ke pantai setelah puas mandi manda. Mentari kian berlabuh walaupun jam baru menunjukan pukul 6.30 petang. Dalam perjalanan kami singgah disebuah kedai makan kampung yang mengantung bendera Jalur Gemilang, Thai Thai Restaurant. Mereka rupanya orang kampung Danok yang terletak bersebelahan Bukit Kayu Hitam, Kedah dan boleh berbahasa Melayu walaupun tidak fasih. Walaupun sekadar minum kopi (RM4 segelas) kami berjanji akan datang pada malam ini memandangkan mereka peramah dan antara kedai yang termurah mungkin kerana lokasinya dikawasan kampung.

Makan malam
Jika tidak kerana Badril dan isterinya, saya tidak akan makan malam selain burger halal dari 7 Eleven. Tetapi bagi meraikan rakan (chewah dah macam orang tempatan!) saya turut serta. Saya makan Phat Tai (sejenis makanan Thai mirip mee goreng tetapi mengunakan suhun dan disajikan bersama serbuk kacang tanah) dan air kosong botol besar dengan harga RM13. Walaupun restoran Thai Thai ini dipinggir kampung ia turut mempunyai capaian wifi.




Apabila jam menghampiri 10.00 malam kebanyakan peniaga mula bersiap sedia untuk menutup kedai, kami berjalan kami kembali ke hotel menyusuri Koh Lipe Walking Street yang lenggang kecuali dikawasan bar. Badril dan isterinya terus pulang ke hotel.

Elephant Coffee House & Bar
Merayau-rayau seorang diri saya terserempak Lee, pelancong Korea yang turut serta snorkeling pagi tadi bersama seorang wanita dan dia mengajak saya lepak bersama di Elephant Bar atau dikenali sebelumnya sebagai Long Tail Bar. Uniknya bar mereka diubah suai dari sebuah bot panjang. Rupanya Lee telah berusaha gigih mencari warga Korea yang kemungkinan ada bercuti di Koh Lipe melalui facebook. Kebetulan ada seorang wanita, Son yang baru tiba di Koh Lipe pagi tadi. Kami berbual rancak. Malah kakitangan bar turut serta dan tidak kisah saya tidak meminum sebarang alcohol dan sekadar singgah berbual. Lee dan Son mudah mesra. Rupanya orang-orang Korea begitu naive serta mudah dikenakan. Lee benar-benar percaya apabila saya menipunya apabila bertanya mengenai cara berpakaian saya malam itu. Ujar saya ia adalah dresscode gangster atau gerila Pattani, merujuk kepada jaket kulit dipadankan bersama kain pelikat. Dan Lee ketawa besar apabila bertanya mengapa gangster tak minum beer tapi minum air mineral? Saya bagitau dia “Gangster don’t drink alcohol because it is bad for health”. Son dan Lee ketawa terbahak-bahak sehinggalah seorang lelaki yang memakai tshirt Thai Punk melintasi belakang saya sambil membawa beer lalu saya menyapanya. “Nice tshirt”. Maka kami pun berbual-bual, tidak semena-mena saya bertanya mengenai Kittisak, pemilik butik rock NWT Shop dan penganjur gig punk di Hatyai. Ternyata Phit atau Menen adalah rakan Kittisak malah turut pernah melihat WRECÄR membuat persembahan di Hatyai dua tahun lalu. Kami berbual panjang dan bermain jenga hingga 2 pagi. Phit, adalah seorang punk rocker dari Satun yang berhijrah ke Koh Lipe dan aktif dalam kerja komuniti membersihkan Koh Lipe bersama organisasi bergelar Trash Hero.






Trash Hero
Pada mulanya saya ingatkan Trash Hero adalah sebuah pertubuhan NGO kerana sesiapa sahaja boleh menyertai mereka, tanpa bayaran atau pendaftaran, asalkan anda berminat melakukan kerja-kerja amal membersihkan lautan dan pantai. Tetapi menurut Phit, dia ada majikan dan turut menjual cenderahati Trash Hero sebagai punca pendapatan. Tetapi orang ramai tidak tahu. Uniknya, sebagai contoh botol air besi yang dijual dengan harga RM20 ini (foto dibawah), selain boleh dibuat souvenir, 50 buah restoren atau bar akan memberi anda air mineral percuma untuk diisikan dalam botol ini setiap masa-selama mana anda berada di Koh Lipe. Bagi yang berminat untuk turut serta mereka akan tunggu di Pataya Beach jam 10.00 pagi. Kakitangan Trash Hero akan membuat taklimat dan membawa peserta ke lokasi sasaran pada minggu itu. Selesai sesi punggut sampah, makan dan minum percuma akan disediakan oleh Trash Hero sebagai penghargaan. Dari apa yang saya tahu, sampah sarap yang terkumpul turut dijual sebagai punca pendapatan mereka. Menariknya Trash Hero sudah mempunyai cawangan di Krabi, Phuket dan yang terkini Trash Hero Indonesia! Sila lawati: www.trashhero.org





Sarapan Pagi
Selesai solat Subuh jam 4.50 pagi, saya mula mengemas barang-barang. Badril hairan bagaimana saya mampu mengisi segala macam benda ke dalam dry bag 10 liter. Saya siap bawa pulang satu kulit siput gergasi sebagai souviner. Berikut cara saya mengisi barang; 

satu bahagian alat solek, satu bahagian dokumen kering, satu bahagian alat elektronik, satu bahagian pakaian kering dan satu bahagian pakaian terpakai dan basah.

Phit, Trash Hero berjanji untuk menemani saya sarapan pagi di Elephant Bar yang merupakan stesen melepak baginya. Memandangkan dia bertugas waktu anjal, tiada masalah bagi Phit untuk meluangkan masa menemani saya. Saya membeli tiket terbuka untuk kembali ke Pak Bara, maka saya boleh memilih untuk balik jam 9.00 pagi, 12.00 tengahari atau 4.30 petang. Saya pilih 12.30 tengahari, dan bagi tiket terbuka seperti saya. Anda harus tempah perjalanan kembali awal sehari melalui telefon. 




Elephant Bar dibuka seawal 9.00 pagi, menewaskan hampir semua kedai makan lain. Dan diuruskan oleh kakitangan berbeza pada siangnya. Seperti yang dijanjikan Phit datang dengan senyum lebar. Mulanya saya hanya ingin minum kopi, tetapi saya mencuba fruit and toast bersama hot latte dengan harga RM28, walaupun pada menu harganya sedemikian, pengurusnya hanya cas RM20 mungkin disebabkan saya kenalan Phit.

Phit mula bercerita mengenai Koh Lipe dan aktiviti-aktiviti muzikal beliau sebelum aktif dalam Trash Hero.

Anjing, Nyamuk dan Bapuk
Phit dengan ketawa besar sambil mengira jarinya “You should know, Koh Lipe is famous for these; dogs, mosquitoes and ladyboys." Ujarnya, bukan sahaja pelancong tetapi penguasaha kedai dan hotel menjadi rimas dengan populasi stray dogs yang memenuhi setiap lorong dan pantai Koh Lipe. Jika anda penah lihat cat island di Jepun, saya pasti dalam tempoh 5 tahun lagi Koh Lipe akan padat dengan anjing-anjing yang asalnya dibawa dari tanah besar dan dibuang disini. Mungkin satu usaha bagi menjadikan pulau ini tidak mesra muslim? Hanya mereka sahaja yang tahu. Seterusnya boleh dikatakan setiap premis pasti menerima ancaman nyamuk, Penubuhan Trash Hero antara usaha mengawalnya dengan memastikan kawasan sampah yang menjadi pusat pembiakannya dilenyapkan. Tetapi kehadiran nyamuk-nyamuk masih banyak dan ada baiknya anda bawa krim anti-nyamuk jika ke sini. Dan yang paling mengharukan dan entah dari mana permulaannya kata Phit, pemuda tempatan atau Chao Ley tertarik untuk menjadi pondan. Kata Phit, sesuatu yang lucu pada siang hari mereka berkerja sebagai buruh binaan “They look like me during daytime” merujuk kepada imej yang ganas, “But in the night they turn into shemales and looking for a tourist boyfriend”. Phit bercerita lagi, pembangunan Koh Lipe mula berlaku 2 tahun lalu setelah mendapat banyak liputan mengenai Chao Ley yang menarik minat pelancong Eropah. Kini dah ada 3 mesin ATM di Koh Lipe, maka kehabisan wang tidak menjadi masalah lagi.

Tiada masalah makanan kerana banyak restoran halal diusahakan oleh warga Satun yang boleh berbahasa Inggeris dan Melayu. Manakala barangan runcit kebanyakannya produk dari Malaysia. Ketika berbual dengan pelancong Korea semalam, Lee ada berkata walaupun Pulau Langkawi tidak secantik Koh Lipe dan beliau sudah serik untuk ke Langkawi, namun orang-orang disana boleh memahami dan bertutur bahasa Inggeris. Tidak seperti di Koh Lipe yang hanya kakitangan bar, hotel dan agensi pelancongan sahaja yang faham Inggeris. Ia agak menyukarkan, kata beliau.

Pulang
Jam 11.00 pagi, cuaca semakin panas. Saya memohon diri, walaupun baru kenal terasa agak sedih untuk meninggalkan Phit dan suasana tropika yang mendamaikan di Koh Lipe. Saya harus berada di pantai Sunrise jam 11.30 untuk menaiki bot panjang ke jeti terapung. Beberapa kilometer berjalan kaki tidak terasa kerana seronok melihat alam dan ragam manusia. Ketika di persisiran pantai, Badril dan isterinya pun tiba untuk pulang dengan menaiki teksi beca. Ketika di pondok menunggu, saya dapat lihat pelancong-pelancong Eropah turun ke laut memancing dan memukat dengan bot-bot ikan seolah-olah mereka adalah Chao Ley. Jika anda ingat kisah saya bertemu punk rocker Jerman, SPEICHELBROISS, mereka pun tinggal selama sebulan di Koh Lipe dan menjalani kehidupan harian seumpama Chao Ley. Mereka jadi nelayan dan aktif dalam gerakan Trash Hero. Pulang ke Jerman mereka siap tulis dan rakamkan lagu berjudul “Chao Ley”.





Menurut seorang pelancong Malaysia berketurunan Cina, Alvin memberitahu dalam perjalanan pulang speedboat turut akan berhenti di sebuah pulau. Namun hujan lebat yang mungkin akan menganggu jadual perjalanan membuatkan speedboat kami membelah ombak terus menerus ke Pak Bara. Ada suatu ketika mereka menghentikan enjin ditengah laut bagi membolehkan pelancong mengambil foto sekumpulan ikan lumba-lumba @ dolphin yang datang entah dari mana mengejar bot. Ikan lumba-lumba antara haiwan paling bijak dan gemar bersosial, boleh jadi mereka ingin bermain.

Pak Bara
Suasana panas terik di jeti Pak Bara langsung tidak mengambarkan keadaan di lautan yang kami hadapi tadi. Sebaik turun dari bot saya terus ke tandas untuk persalinan bagi menunggang motorsikal kembali ke Kangar. Badril dan isterinya dah lesap. Saya dijemput oleh agen perlancongan untuk mengambil motorsikal yang ditempatkan di rumahnya. Setelah memanaskan enjin, saya ke 7 Eleven untuk burger dan kopi sebagai makan tengahari. Jam menunjukan pukul 2.30 petang.



Saya menerima mesej Whatapp dari Badril mengatakan mereka sedang makan tengahari di kawasan pantai berdekatan tapak pasar malam. Saya singgah sebentar untuk minta diri, seterusnya terus ke masjid dan pulang. Dalam perjalanan saya singgah di pasar malam Pak Bara untuk 2 batang sate ayam dan terus ke masjid Banlanga untuk solat.

Seterusnya mengisi petrol RM10 dan terus bergerak ke Wang Kelian. Ketika mengecop Passport keluar, immigresin Thai meminta tips RM2 kerana melihat rekod saya masuk dari Padang Besar. Maknanya dia tahu saya tidak membayar RM1 ketika masuk tempoh hari, jadi dia minta tambang ‘pi balik’ siap. Haram betoi!

Perbelanjaan saya seperti berikut:
Insuran motorsikal: RM55 (untuk setahun)
Petrol: RM30
Makan minum 3 hari: RM65
Hotel: RM80
Snorkeling: RM55
Kayak: RM15
Tambang speedboat: RM120 (pergi-balik)
Tambang bot panjang transit: RM10 (pergi-balik)
Sewa parkir motorsikal: RM30 (3 hari)
Cukai jeti: RM2
Jumlah keseluruhan: RM407