Ahad, 24 Mei 2015

6 KOAY TEAW UNIK YANG PERLU ANDA CUBA DI PERLIS

KOAY TEAW PAK WAN

Ada banyak faktor yang membuatkan koay teaw kerang ini mencapai status ‘cult’. Arwah Pak Wan merupakan pemain gitar jazz yang memiliki studio latihan muzik pada awal 80’an, studio beliau menjadi markas kumpulan black metal pertama di Malaysia, (METAL GHOST) atau di Asia Tenggara secara amnya, kemudian pada tahun 1984 mereka memilih untuk mengunakan nama BLACKFIRE. Pak Wan adalah pengkritik utama BLACKFIRE yang akhirnya menjadi penyokong kuat mereka.

Kedua, Pak Wan antara peniaga di tapak gerai makan bersebelahan Pasar Besar Kangar (penduduk tempatan panggil ‘markit’) yang telah dirobohkan. Lokasi tersebut menjadi lagenda kerana tiada kasta sebaik anda menjejakkan kaki di situ. Menteri, selebriti, pesawah, penyamun, penganggur, orang kurang siuman, Cina, India, Siam, semua boleh duduk makan bersama.

Arwah Pak Wan meninggalkan legasinya yang berjaya mengekalkan citarasa yang sama. Jika anda sukakan koay teaw kerang dengan rasa tradisional, dipadankan dengan jeruk cabai hijau. Anda perlu datang ke Medan Selera, Pasar Besar Kangar yang terletak dibelakang Pasar Borong Kangar. (Dua jenis pasar basah dengan harga barang yang berbeza dalam satu kawasan yang sama? Pelik kan?). Gerai Arwah Pak Wan terletak bersebelahan nasi kandar Hamid.

Atau jika anda mahukan, sesuatu yang benar-benar dari warisan. Anda boleh terus ke Taman Aman, Jalan Raja Muda Perlis. Anak arwah, Berry mengusahakan gerai koay teaw kerang resepi warisan ini dihadapan rumahnya yang dibuka pada lewat petang hingga larut malam.

KOAY TEAW PAK NAN

Pak Nan digeruni kerana sikap panas baran dan turut penah membelasah pelanggannya sendiri. Seorang bekas komando dan penternak kambing berjaya pada siang hari. Jika anda tidak mampu melihat sang suami memarahi isteri sambil mengoreng koay teaw, dan ada kalanya beliau membaling sudip, pinggan atau kuali. Lebih baik anda jangan datang ke sini. Tahap kesabaran anda yang tinggi juga amat diperlukan jika berhajat untuk makan di sini, kerana secara purata sajian anda akan sampai ke meja dalam tempoh satu jam.

Walaubagaimanapun, kedai beliau sentiasa penuh dengan pelanggan setia yang sudah lali mengenai sikapnya. Keistimewaan koay teaw Pak Nan semestinya dari kaedah memasaknya yang mengunakan arang batu. Maka, rahsia keenakan koay teaw ini selain resepi tradisi semestinya lah pada teknik kawalan api mengunakan arang tersebut.

Pak Nan berniaga di lokasi yang sama sejak era 80-an hingga kini, bezanya jika dahulu dalam dangau kayu yang hampir runtuh, kini dia menyewanya di kedai projek tanah wakaf bersebelahan Masjid Muhammadi, Jejawi berdekatan JPJ Negeri Perlis.

Walaupun menu asalnya adalah koay teaw kerang, anda boleh minta Pak Nan tukarkan kepada daging atau jadikan ia berkuah. Jika anda berani order laaa….! Koeteaw Pak Nan akan menjadi lebih ‘kick’ bila dipadankan bersama sos cili cap Unta. Harganya kekal murah tiada tandingan. 


KOAY TEAW KWSP

Seingat saya, inilah char koay teaw Penang yang pertama dibawa masuk ke Perlis pada 94-95. Pada zaman tersebut boleh dikatakan setiap minggu saya akan ke sini, begitu juga rakan-rakan. Pantang sesiapa sahaja yang ada duit lebih dan berniat mahu belanja kawan, atau terdetik hati untuk makan malam bersama awek. Sinilah lokasi kegemarannya. Pada ketika itu, si taukeh sendiri yang mempamerkan seni masakan bermain api dalam kuali. Kini dah pakai pekerja.

Tetapi kini dari apa yang saya sendiri rasa, kualiti tumisan mereka (pekerja) kurang baik, dan rasanya manis lain macam. Berbeza dari apa yang saya rasa pada pertengahan 90’an dahulu. Kalau dahulu, selalunya kami makan seorang dua pinggan.

Namun, mereka kekal sebagai char koay teaw terlaris di bandar Kangar dan digemari generasi Y. Saya pun kurang pasti kenapa? Mungkin juga citarasa saya berbeza. Boleh anda cari dengan mudah kerana mereka beroperasi di kaki lima bangunan KWSP pada sebelah malam sahaja. Parkir pun mudah. Suasana romantis kerana makan bergelap hanya tumpang lampu jalan.

 CHAR KOAY TEAW ROSLI

Char Koay teaw Rosli adalah antara pesaing kepada Char Koeteaw KWSP yang muncul pada pertengahan 90’an yang asalnya dibuka roundabout Kangar. Lokasi trending zaman itu, malangnya mereka diarahkan berpindah kerana kawasan itu sering berlangsung acara rakyat. Mereka berpindah ke simpang tiga Stadium Utama, Jalan Kaki Bukit berdekatan nasi kandar Jalal.

Jika di KWSP sajian nya agak manis, char koay taw Rosli terkenal dengan sajian masin. Jadi anda bolehlah memilih diantara dua, saya sukakan yang masin ini. Keistimewaan char koay teaw Rosli mereka akan mengoreng udang secara berasingan terlebih dahulu sebelum dimasukan ke dalam koay teaw. Saya sering makan char koeteaw ‘special’, menu ini diberikan beberapa udang goreng tambahan dalam pinggan asing bersama telur dan kicap seasoning serta cabai hijau. Koeteaw kerang juga unik dan digemari pengemar makanan masin.


CHAR KOAY TEAW TAMAN KEMAJUAN

Jangan keliru antara sebuah lagi cawangan char koay teaw KWSP yang terletak dihadapan bangunan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs), char koay teaw yang yang maksudkan ini terletak dihujung Pasaraya Taman Kemajuan dan terletak dibahu jalan yang diusahakan dari rumah corner lot yang turut menjual masakan Thai dan buah-buahan.

Menariknya, mereka turut menyediakan char koay teaw ketam. Jika char koay teaw biasa, udang-udang dari sangkar peliharaan yang digunakan agak besar juga saiznya dari kebanyakan restoran-restoran lain. Namun harganya murah. Saya kecewa kerana tukang masak mereka silih berganti, menyebabkan citarasa masakan mereka tidak konsisten. Setiap kali saya ke sini, pasti saya akan pesan supaya tumis agak lama supaya saya tidak merana cirit-birit. Bagaimanapun jika tukang masak berpengalaman yang bertugas pada malam tersebut, hasilnya pasti mencengkam kalbu. 


 CHAR KOAY TEAW TOK WI

Apabila Tok Wi membuka restoran char koay teaw berhadapan Masjid Batu 2, Simpang ke Taman Ular sebelum berpindah ke Kampung Paya, Balai Baru. Ia menjadi viral kerana kesedapan masakan nya. Sesiapa yang tidak pernah makan di Tok Wi dianggap tidak up-to-date. Sehinggalah kualiti perkhidmatan, layanan pelanggan dan kualiti makanan itu sendiri merundum akibat dari sikap egois mereka. Saya penah banned restoran Tok Wi kerana bersikap acuh tak acuh kepada pelanggan disebabkan sambutan luar biasa pada masakannya. Mungkin bagi mereka, 2 orang pelanggan yang kecewa tidak akan mendatangkan apa-apa kerugian bagi mereka.

Sejak berpindah, kedainya hanya diraikan oleh pelanggang setia sahaja. Namun boleh saya katakan kualiti masakannya kekal dengan mengunakan udang bela yang bersaiz besar dengan harga yang agak murah. Walaupun saya telah hentikan kempen ‘banning tok wi’, jarang-jarang sekali saya ke Tok Wi kecuali ada teman dari luar Perlis yang datang untuk cuba masakan unik di sini. char koay teaw Tok Wi terkenal dengan kuah yang banyak dan perkhidmatan yang cepat. Konsep seperti kawasan 'rehat dan rawat' yang diadaptasi di kedai makan kampung ini kurang mesra pelanggan. Maknanya mereka tidak akan layan tempahan atau urusan pembayaran makanan anda selagi anda tidak bangun sendiri ke kaunter.

Jika anda pulang dari Padang Besar lewat petang dan tiba di kawasan Balai Baru, Beseri, bolehlah anda singgah di char koay teaw Tok Wi untuk mencubanya.

8 ulasan:

  1. Aku char kue teow mmg tak suka,tapi kalo kue teow kerang or daging,fuhh..mmg terangkat..mee mesti mau lebih..heheh..tapi betul la kena tgk tukang masak dia juga.susah nak jumpa org yg masak kue toew goreng yg sedap kt sini

    BalasPadam
    Balasan
    1. hehehe... aku pun tukar daging selalunya bro..

      Padam
  2. info menarik...lain kali pergi Perlis aku try cari...TQ

    BalasPadam
  3. kat tempat aku ni belum jumpa yg betul2 sedap, biasa2 saja. ada tu yg makan tak abis. perna beli kat pasar malam ada satu abg yg buat bebaris panjang2. nampak mcm sedap, last2 aku makn tgh malam aku cirit.. last aku beli tu. percubaan pertama yang gagal.

    BalasPadam
  4. wahhh kalo sampay perlis, kena cari tempat makan nih. terbaik

    BalasPadam
  5. Thanks bg info... Tgh cri charkuetiau google jmpa blog ni.. Bru try charkuetiau kwsp....mcm dikata manis... Xleh lawan tokwi...stkat ni tokwi sdp lg...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...