Isnin, 16 September 2013

CHIN PENG

Diisytihar pemerintah sebagai 'Musuh Masyarakat No. 1"

Dalam buku Red Star of Malaya Resistance mengenai perjuangan komunis oleh ahli akedemik Universiti Sains Malaysia, Prof. Cheah Boon Kheng. Ia mengupas tentang konflik selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan bagaimana Lai Tek meninggalkan jawatannya sebagai Setiausaha Agung PKM seterusnya menjadi agen Jepun serta British semasa Perang Dunia Kedua. Parti Komunis Malaya (PKM) dan Kesatuan Buruh Am Malaya adalah pertubuhan yang diiktiraf oleh Pertubuhan Komunis Antarabangsa (COMINTERN) pada April 1930.

Chin Peng seterusnya mengantikan Lai Tek bagi jawatan itu dan melancarkan perang gerila ke atas anggota pasukan keselamatan British, askar dan polis. Dilaporkan lebih 10,000 orang terbunuh akibat kekejaman PKM. Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim turut mati ditembak komunis pada tahun 1974. Chin Peng akhirnya menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Malaysia pada tahun 1989.

Dahulu zaman aku kanak-kanak, apa yang aku tahu komunis itu adalah penjahat atau penganas. Aku tidak tahu mengapa mereka menganas? Kerana itulah yang dilabel oleh pemerintah dan ditulis dalam buku-buku teks sekolah. Kini ada rakyat Malaysia malah ramai yang menyokong komunis terang-terangan? Rakan-rakan sendiri pun tidak takut lagi memperagakan lambang-lambang komunis malah mengaku datuk nenek dahulu penyokong komunis?

Aku sendiri tidak faham?

Chin Peng bersama beberapa anggota PKM di Lee Garden Hotel, Hatyai pada 3 Disember 1989

Hakikat yang kita harus faham. Siapa pun Chin Peng, tidak boleh dinafikan beliau seorang pejuang. Seseorang itu harus dinilai melalui apakah objektif perjuangannya dan diberi kesaksamaan dalam memberi hujah tentang apa yang diperjuangkan. Ini kerana seseorang tokoh itu dinilai berbeza dari  kaca mata penyokong dan penentang. Bagi penyokong seringkali mereka ini diangkat sebagai wira, patriot, negarawan atau syuhada. Tetapi bagi penentang, mereka ini dianggap sebagai pembelot, penganas dan pengkhianat. Lihat sendiri bagaimana Israel melabelkan tokoh seperti Ahmed Yassin sebagai penganas, tetapi bagi rakyat palestin dia adalah wira dan negarawan. Lihat sendiri bagaimana Yahudi menganggap Hitler sebagai diktator yang kejam, manakala golongan Nazi Jerman menganggapnya negarawan dan pembela bangsa. Lihat bagaimana Amerika menanggap Ahmedinejad sebagai diktator dan manusia yang tamak kuasa, tetapi rakyat Iran dan sebilangan besar umat Islam (mahupun golongan Sunnah) menganggap beliau sebagai seorang yang sangat merendah diri, budiman dan negarawan. Begitulah juga Tok Gajah, Mat Kilau dan banyak lagi tokoh yang kita anggap pahlawan Melayu, patriot dan ulama, tetapi bagi British di arkib muzium dan buku sejarah mereka. Tokoh tersebut dianggap penganas dan penjahat.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dilahirkan di Sitiawan, Perak meninggal dunia di usia 88 tahun di Hospital Antarabangsa Bumrungrad, Bangkok pada 16 September 2013 selepas bertarung dengan penyakit barah yang dihidapinya.

Di negara kita, Chin Peng akan diingati sebagai pengganas yang gagal menubuhkan negara komunis yang diharapkan boleh memberi keadilan sosial dan ekonomi kepada penduduk Malaya sejak 1940.

Selasa, 10 September 2013

#CERITA SERAM (DUBOOK CERITERA)

 “Himpunan Pengalaman Dan Kisah Seram Yang Tak Mungkin Dilupakan”

Kita gemar ditakutkan oleh kisah seram, walaupun kita sendiri tidak mahu melalui pengalaman seram. Tetapi pengalaman ditakuti adalah suatu pengalaman mistik yang sering kita bangga jika melaluinya. Malah sejak wujudnya media elektronik, hiburan bercorak ‘ketakutan’ adalah sesuatu yang menguntungkan dan sangat bernilai komersil. Penulis buku ini, saudara Jarr Nadjmuddean pada perkiraan saya lebih kurang segagan atau muda beberapa tahun dari saya. Dan tercetusnya penerbitan buku ini apabila penceritaan beliau di twitter mendapat sambutan ramai. Yang mana, beliau akan memuatkan siri-siri cerita seram tepat jam 12 tengah malam pada setiap malam Jumaat. Jadi kisah dari twitter milik beliau ini dibukukan dan dipasarkan. Logo twitter terbalik pada kisah (23 kisah) mungkin simbolik pada cetakan buku ini. Cetakan buku yang saya miliki ini adalah yang ketiga, cetakan pertamanya pada November 2012. Saya berpendapat buku ini amat laris sekali!

Jarr Nadjmuddean adalah seorang pemuda kelahiran Terengganu, menulis dengan kaedah yang sangat santai dan pada hemat penerbit melalui prakata adalah berdasarkan pengalaman Jarr sendiri yang dikatakan memiliki kebolehan melihat hantu. Jika dinilai dari segi gaya bahasa, memang buku ini tiada haknya dalam khazanah bahasa Melayu kerana pengunaan ‘bahasa pasar’ dan ‘bahasa rojak’. Agak mengecewakan kerana, penerbit tidak menyunting semula penceritaan Jarr dari Twitter supaya lebih berseni untuk dibukukan. Mungkin kisah dari pengalaman sendiri, mereka tidak mahu menjejaskan penceritaan santai dari Jarr. Ia seolah-olah mendengar cerita dari mulut rakan rapat anda sendiri. Tetapi kisah-kisah lain yang diceritakan semula dari Jarr seperti Hantu Mek Kerinting, Puaka Bukit Depu, Pintu Alam Ghaib, Paya Hitam, Kampung Sinsing kedengaran dongeng dan telah berkali-kali secara tipikalnya diceritakan oleh masyarakat Melayu. Betul atau tidak, cerita sedemikian telah biasa kita dengar berzaman. Namun kisah yang diceritakan semula ini digarap lebih baik bahasanya berbanding pengalaman beliau sendiri.


Saya menyukai gaya tulus beliau bercerita mengenai pengalaman beliau yang memuatkan fakta, nama tempat, waktu dan sedikit keadaan persekitaran pada waktu itu. Ia mirip Othman Wok, tetapi Othman Wok adalah penulis kisah seram yang lebih berseni dan halus.

Beberapa pengalaman penulis di Setapak, KL juga membuatkan saya tersenyum mengingatkan rumah sewa saya di Setapak suatu ketika dahulu.

Buku ini sesuai dijadikan bahan bacaan hiburan tanpa mengambil serius isinya. Tiada penghargaan terhadap bahasa melayu dalam buku ini dan sayang sekali , Jarr tidak mengunakan kesempatan ini untuk ‘islah’ atau mungkin menyalurkan ‘dakwah’. Saya kesal dengan kisah-kisah yang lebih menjurus orang ramai mempercayai tahyul dan khurafat. Saya juga kesal apabila membaca banyak kisah beliau yang mendorong kepada kepercayaan wujudnya roh jahat, roh arwah kembali, roh menganggu orang ramai. Dimana kita sebagai orang Islam wajib mempercayai Allah swt Maha Berkuasa memelihara roh disuatu alam bergelar Barzakh sementara menanti akhirat dan roh orang yang mati tidak akan sewenang-wenangnya kembali ke dunia ini melainkan qarin atau syaitan yang merupabentuk sebagai si mati untuk memesongkan akidah dan iman manusia.

Kita mungkin akan menganggap buku-buku dengan beberapa ayat seperti Masya Allah, Subhanallah, ustaz, tawakal sebagai benar dan beretika. Jangan kita lupa, buku-buku agama sendiri pun ada yang ditulis mengunakan hadis palsu dan menjatuhkan hukum mengunakan nafsu.

Mungkin inilah penyebab larangan dari pemikir-pemikir Islam agar tidak membenarkan buku-buku tahyul diterbitkan malah dijadikan koleksi melebihi kitab-kitab agama di rumah-rumah kita. Tidak salah mahu bercerita tentang alam ghaib, malah ia adalah salah satu dari rukun Iman. Tetapi ceritalah selayaknya sebagai seorang Islam.