Khamis, 16 Jun 2011

CUN (2011)


Ahhh! Hendak jadi pengkritik filem pula ke? Takda lah, sebenarnya seorang kawan wanita yang cadangkan saya tonton filem ini, dan seorang kawan wanita juga yang cadangkan saya ulasan filem ini dalam blog. Mulanya saya agak keberatan, tetapi memikirkan ini filem Melayu pertama saya lihat sebanyak 3 kali. Hehehe! Okay, saya akan ulasan secara santai untuk kali ini sahaja dan tetap akan mengekalkan blog ini berkonsepkan muzikal.

Filem ini telah diterbitkan pada 2010, dan seperti biasa saya tidak pernah ambil pusing dengan perkembangan filem tempatan. Terlebih dahulu ingin saya kongsikan bahawa saya adalah seorang fanatic filem seram dan aksi terutama di era 80-an. Saya mengikuti kebanyakan filem komedi romantic Hollywood. Terkini saya mengilai filem-filem Western (cowboys), jadi kebanyakan filem yang saya beli bermakna saya akan tonton berkali-kali dan kaji dari pelbagai aspek. Percaya atau tidak saya menonton Unforgiven 5-6 kali. Tombstone – mungkin 10 kali! Haha!

Saya tidak terkejut bila kawan saya memberitahu bahawa CUN dikira filem under-rated. Bagi saya orang Malaysia masih belum dapat layan dengan santai filem romantik komedi sebegini kerana lebih mengharapkan banyak fiksyen di dalam jalan cerita sesuatu filem cinta. Kata rakan saya lagi mungkin saya baised dalam menilai filem tersebut disebabkan saya ‘stim’ dengan Maya Karin. Hahaha! Mungkin juga. Hahaha! Takda lah.

Sebenarnya saya tidak pernah menyukai apa filem pun yang dilakonkan oleh Maya Karin sebelum ini. Lebih-lebih lagi filem seram beliau. Malah filem seram Melayu semuanya boleh saya rungkul dan kritik secara menyeluruh tanpa perlu perinci satu per satu kerana hampir semuanya mencedok karya-karya filem lain dan tidak segar dengan idea.

Filem Cun ini jika diteliti memang mempunyai pengaruh filem cinta Bollywood moden, tetapi berjaya diolah dengan citarasa Malaysia oleh pengarahnya, Osman Ali. Pada permulaan 10 minit pertama memang agak membosankan, seolah-olah menonton tele-movie apabila gerak lakon yang dipamerkan setiap watak agak suram bagi babak-babak pengenalan. Namun, perkembangan watak masing-masing menyerlah apabila Luna (lakonan Maya Karin) dan Tom (lakonan Faezah Elai) tiba di kampung.

Banyak perkara yang menarik telah berjaya ditonjolkan oleh pengarah didalam filem ini yang membuatkan ia lari dari tipikal filem Melayu dan dalam masa yang sama ia sangat Melayu. Itu yang best tu. Antaranya, suasana kampung yang sebenar. Sebelum ini sering kita lihat kalau konon nya seseorang itu dari bandar ke kampung, pastinya akan terdampar di sebuah kampung yang begitu ulu, tiada TV, jalan tidak berturap ( jalan ke rumah nenek Tom tidak berturap sebab terletak ditengah sawah!), orang kampung miskin, suka pergi surau dan sebagainya. Sebaliknya pengarah menonjolkan pemandangan kampung yang tenang, selesa dan sederhana.


Banyak watak-watak yang cemerlang dalam filem ini. Hampir semuanya memberikan yang terbaik. Sesuatu yang sukar kita temui dalam filem tempatan. Paling hebat, Manis adik kepada hero ( lakonan Nadiya Nisa) yang melakonkan watak gadis Spastik. Sebelum ini jika kita lihat apabila ada watak sebegini pastinya dilakonkan dengan gaya yang terlampau hodoh, pakaian comot, ala orang gila, gagap dan sebagainya. Tetapi Manis tidak perlu solekan bodoh, tidak perlu pakaian bodoh dan tidak perlu mimik muka yang terlalu bodoh untuk menampakan beliau bodoh. Hehe! Bagi aku beliau telah membuat research dan homework bagi menghidupkan watak Manis.

Tom atau Kuntom (lakonan Faezah Elai) memang mempunyai pengaruh lawak mamak yang ketara, watak gadis ‘rampang’ (ganas) cara kampung seperti itu hanya boleh dilakonkan oleh Faezah sahaja. Muktamat. Begitu juga watak antagonis, Bedah Tonggek dan Eton Gebu yang pasti membuatkan kita teringat makcik-makcik ‘loklaq’ di kampung kita. Dan yang paling menarik, kesesuaian runut bunyi setiap kali mereka muncul. Anda pasti terhibur.

Atan ( lakonan Remy Ishak) dihidupkan dengan realiti pemuda kampung sejati, ada sebuah lori, buat kerja sawah sambil berniaga pasar malam, mengunakan bahasa kasar utara yang natural, masa lapang jaga kerbau dan memukat ikan, malam hari main gitar dengan kutu kampung di jelapang, pakaian yang sesuai ( cuba lihat pakaian Remy semasa beliau ke KL) dan tidak terlalu macho.
Katrina Aziz melakonkan watak nenek paling sporting. Selamba dan riuh rendah.

Anda pasti akan meloya apabila melihat watak Candy. Saya pun. Hakikatnya Ning Baizura berjaya melakonkan watak menjengkelkan tersebut. Anda ingat bagaimana Chris Tucker menjadi hos rancangan realiti dalam filem Fifth Element? Ning Baizura adalah Chris Tucker versi Malaysia.

Maya Karin memang bijak melakonkan aksi-aksi manis dalam semua babak, samada lucu, romantik dan sedih. Yap, kewajipan filem romantik komedi perlu ada drama simpati kepada hero atau keluarga hero sebelum pengakhiran kejayaan dalam percintaan beliau. Dan ini berjaya dieksploit melalui sikap panas baran Atan dan kecelaruan mental adiknya, Manis.

Pemilihan lagu sebagai runut bunyi adalah hebat. Variasi dari dangdut, Brit Pop dan Pop Rock. Sesuai dengan pemilihan setiap babak. Antara babak menarik, ketika perlumbaan motor antara Luna dan Eton Gebu di parit gila ( sedikit sejarah parit gila: saliran tali air di sawah ini dinamakan parit gila kerana sistem alirannya seolah-olah dibina tidak mengira tempat sepatutnya. Kadang-kadang talian air berada lebih tinggi dari sungai berdekatan. Oleh sebab itu, talian tersebut tidak berguna, maka petani terpaksa mengunakan pam juga untuk membekalkan air di sawah mereka. JPS sering dipersalahkan dalam soal ini. Parit gila hanya ada di Kedah-Perlis). Begitu juga babak, Luna dibawa ke restoran karaoke dan babak memujuk Manis di kaki gunung yang memberikan sentuhan tersendiri dalam filem ini.

Jadi, apa kata anda dapatkan dvd filem ini untuk aktiviti santai bersama keluarga.

Bintang: 4/5